Skip to main content

UMPSA edar 2,000 bubur lambuk, 500 pek gulai kawah untuk komuniti berbuka puasa

KUANTAN, 21 Mac 2024 - Lebih 2,000 pek bubur lambuk dan 500 pek gulai kawah yang dimasak secara bergotong-royong diagihkan kepada komuniti setempat dalam program Memasak Bubur Lambuk UMPSA anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di perkarangan masjid Sultan Ahmad 1 di Kuantan. 

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) itu mendapat kerjasama rakan strategik, Isuzu Hicom Malaysia Sdn. Bhd. dan Maxis Berhad yang turut menyumbang dalam menjayakan program memasak lapan kawah bubur dan dua gulai kawah sebagai juadah berbuka puasa pada tahun ini. 

Turut sama pada kali ini, pihak UMPSA Advanced Education, UMP Holdings, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses dan Masjid Sultan Ahmad 1. 

Hadir mengagihkan sumbangan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

Hadir sama Pengurus Kanan Operasi, Isuzu Hicom Malaysia Sdn. Bhd., Nazman Mohd Nor dan Head of Region Maxis Broadband Kuantan, NarulHizam Ruslan

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, bubur lambuk merupakan sejenis hidangan yang amat sedap dimakan pada bulan puasa di Malaysia. 

“Saban tahun, UMPSA akan memasak secara bergotong-royong di masjid UMPSA untuk diagih-agihkan kepada pelajar.

“Namun pada kali ini, kita bergotong- royong memasak sejak awal pagi dan sebanyak 2,000 pek bubur dan gulai kawah diedarkan kepada orang ramai di sini,” katanya. 

Pihaknya turut menghargai kerjasama rakan strategik dengan semua penaja. 

UMPSA edar 2,000 bubur lambuk, 500 pek gulai kawah untuk komuniti berbuka puasa

Dalam pada itu, UMPSA menyediakan juadah berbuka puasa pada setiap hari melibatkan staf dan pelajar secara bergilir-gilir mengikut jadual yang ditetapkan di bawah penyelarasan pihak Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) untuk seramai 2,000 pelajar UMPSA di kampus Pekan dan Gambang. 

Dalam pada itu, UMPSA terus mengekalkan tradisi iftar iaitu juadah yang disediakan di dalam talam bagi merapatkan ukhuwah antara warganya.  

Sepanjang bulan Ramadan ini, UMPSA juga menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan penganjuran Festival Ramadan dengan pengisian Solat Tarawih, Tadarus dan Iftar Jamaie.    

Lain-lain termasuklah Program Kembara Singgah Sahur , Ziarah Mahabbah Anak-anak Yatim, Sahur Ride UMPSA 2024, program memasak bubur lambuk, Ceramah Nuzul Quran, Kem Hafiz Ramadan, Majlis Khatam Quran Hour, Geng Subuh Macam Jumaat, Tahajud Call Pecutan Terakhir, Kem Hafiz Ramadan dan Pertandingan Penulisan Ramadan Kreatif  yang turut memberi peluang masyarakat warga kampus dan masyarakat setempat untuk turut sama menyertainya.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri