Skip to main content

UMPSA terima kunjungan delegasi NPO Turkiye dan MPC

PEKAN, 23 Ogos 2023- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)  menerima kunjungan delegasi daripada National Productivity Organization (NPO) Turkiye bersama Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Kunjungan ini merupakan kesinambungan menerusi program ‘Multicountry Observational Study Mission on Best Practices in Lean and Digital Transformation for SMEs’ yang telah diadakan di Konya, Turkiye pada bulan Jun yang lalu dengan disertai oleh wakil pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Ts. Syed Radzi Rahamadulla.
Para delegasi yang tiba di UMPSA Pekan disambut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. 

UMPSA terima kunjungan delegasi NPO Turkiye dan MPC

Turut sama Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Dr. Mohd Hanafiah Ahmad dan Pengarah (Bahagian Hubungan Universiti - Industri) Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir. Dr. Chin Sim Yee serta wakil dari FIM dan Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi (PRInT).

Manakala, mewakili NPO adalah Ketua Pengarah Kajian Strategik dan Produktiviti, Kementerian Teknologi dan Industri, Profesor Dr. Ilker Murat Ar yang hadir bersama Dr. Onder Belgin, Veli Ozel dan Zeynep Ozge Demirci. 

Manakala, MPC dihadiri oleh Liaison Officer Asian Productivity Organization (APO) Malaysia, Abigail Anbalakan.

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, lawatan delegasi NPO Turkiye dan MPC ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik yang diusahakan oleh UMPSA dengan mewujudkan kilang pembelajaran sebagai pusat pembelajaran serta latihan yang berorientasikan tindakan.

“Ia berdasarkan persekitaran industri selain menjalinkan kerjasama dalam pelbagai aspek termasuklah penempatan pelajar untuk latihan industri, penyelidikan dan lain-lain lagi.

“Antara matlamat utama penubuhan kilang dalam kampus ini bagi mendedahkan para pelajar kepada dunia industri sebenar.  

“Menerusi pembelajaran dalam kilang ini, pensyarah boleh memberikan teori dan pada masa sama menunjukkan kepada pelajar kaedah penggunaan peralatan dengan situasi sama seperti berada di industri,” katanya.

Melalui kunjungan ini, kedua-dua belah pihak dapat berkongsi informasi berkenaan konsep pengoperasian kilang pembelajaran yang dipraktikkan. 

UMPSA terima kunjungan delegasi NPO Turkiye dan MPC

'Model Factory' Turkiye dijadikan pusat untuk melatih para pekerja industri mengenai teknik dan cara untuk menyelesaikan masalah bagi meningkatkan produktiviti. 

Manakala kilang pembelajaran di UMPSA lebih memfokuskan suasana pembelajaran yang berasaskan industri sebenar.

Selama dua hari program ini, delegasi telah dibawa melawat ke kilang pembelajaran iaitu Manual Operation Learning Factory dan Smart Operation Teach Factory yang berada di UMPSA Kampus Gambang. 

Manakala pada hari kedua mereka berpeluang melawat ke Bosch Modular System dan Mechanical Learning Factory yang merupakan kilang pembelajaran di UMPSA Pekan.

Disediakan oleh: Nur Aina Adhrene Muhammad Syukri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
ainaa adhreena