Skip to main content

Warga UMPSA semarakkan Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

GAMBANG, 4 April 2024 – Seramai 150 staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyemarakkan Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour yang berlangsung di Masjid UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini. 

Program yang bermula jam 9.00 pagi itu didahului dengan Majlis Khatam al-Quran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMPSA, Muhammad Sallehudin Md Derus yang juga merupakan sekretariat bagi program Ihya Ramadan 2024.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said.

Warga UMPSA semarakkan Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

Katanya, tanpa kita sedar, kita hanya tinggal lima hari lagi untuk menyambut bulan kemenangan iaitu 1 Syawal 1445H dan sehingga kini kita masih dipanjangkan usia oleh Allah SWT.

“Dengan keberkatan bacaan al-Quran, moga-moga kita mendapat keredaan dan keampunan oleh Allah SWT di dalam bulan Ramadan ini yang dibuka seluas-luasnya pintu keampunan dan kerahmatan.

“Program ini dianjurkan bertujuan untuk mempelbagaikan program pengisian kerohanian kepada warga UMPSA agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Program ini juga turut merealisasikan agenda UMPSA untuk menjana pembangunan insan selari dengan nilai teras utama UMPSA iaitu Hubungan Yang Kuat dengan Yang Maha Pencipta,” ujarnya.

Warga UMPSA semarakkan Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

Hadir sama Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Khairul Salleh Abdul Basit.

Majlis diteruskan dengan tadabbur surah al-Asr yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Sukki Othman. 

World #QuranHour 1445H berinteraksi dengan Surah al-Asr yang menerangkan mengenai kepentingan masa dalam melaksanakan pekerjaan kepada staf. 

Ini memastikan staf tidak sesekali menangguhkan pekerjaan.

Program World Quran Hour 2024 yang disambut saban tahun ini merupakan inisiatif dalam menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan al-Quran agar sentiasa membaca, memahami dan mengamalkannya.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim