Skip to main content
 UMP, Yayasan Pahang bakal mengkaji sejarah kedatangan Islam di negeri Pahang

UMP, Yayasan Pahang bakal mengkaji sejarah kedatangan Islam di negeri Pahang

KUANTAN, 21 Jun 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Yayasan Pahang bakal menjalankan kajian Keabsahan, Pendokumentasian dan Pemuliharaan Warisan Batu Nisan Permatang Pasir, Pekan Pahang. 

Surat kelulusan menjalankan kajian oleh Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan geran penyelidikan berjumlah RM100,000 itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi kepada ketua perunding projek dan penyelidik iaitu Pengarah ITKAS, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad baru-baru ini di Yayasan Pahang. 

Hadir sama dalam majlis Pengarah Kanan (Penyelidikan), Pusat Pengurusan Penyelidkan, Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim dan Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari dan Pengurus Unit Pembangunan Sosial dan Industri, Ustaz Khairul Anuwar  Abu Bakar. 

Menurut Profesor Madya Dr. Hasan, kajian ini dijalankan bagi mendapatkan keabsahan pendokumentasian dan pemuliharaan kesan-kesan warisan sejarah di negeri Pahang bermula dengan batu nisan yang dijumpai di Permatang Pasir, Pekan, Pahang.

Berkongsi penyelidikan, beliau berkata, kajian awal mendapati bermulanya penemuan batu nisan di Kampung Permatang Pasir, Pekan pada Jun 1953 telah menunjukkan adanya kedatangan Islam di negeri Pahang. 

“Penemuan batu nisan ini ada tercatat di dalam The Malayan Historical Journal Vol. 2 iaitu  artikel tentang penemuan batu nisan tersebut telah ditulis oleh Menteri Besar Pahang yang pertama iaitu Datuk Sir Mahmud Mat.

“Pada batu tersebut tertulis ayat-ayat al-Quran dalam tulisan khat Thulus di samping terdapat tarikh si mati meninggal dunia. 

“Justeru, kajian lanjut berkenaan dengan batu nisan ini perlu dijalankan memandangkan ia merupakan bukti kedatangan Islam ke Pahang,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, hasil kajian ini akan didokumentasikan sebagai rujukan ramai.

“Kajian lanjut berkenaan dengan Batu Nisan ini juga bagi membuktikan sama ada tarikh kedatangan Islam ke Pahang lebih awal daripada tarikh kedatangan Islam ke Terengganu,” katanya. 

Sementara itu, menurut  Dato’ Indera Mahmud, usaha yang digerakkan oleh pihak UMP ini amat siginifikan dan selari dengan matlamat Yayasan Pahang dalam memastikan kesan-kesan warisan negeri Pahang terutamanya kawasan batu nisan ini dijumpai dapat dipelihara dan dipulihara menerusi pelaksanaan kajian ini.

“Kajian turut melibatkan para pensyarah UMP dari ITKAS dan PSK bersama beberapa universiti serta agensi luar lain termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). 

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kajian ini merupakan salah satu inisiatif di bawah ITKAS yang berkait rapat dengan fungsi ITKAS iaitu menjalankan aktiviti penyelidikan dan menyediakan khidmat perundingan berdasarkan kepakaran UMP kepada Kerajaan Negeri Pahang dan pihak-pihak berkepentingan.

Pihaknya mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam menjalankan kajian ini. 

Selain itu katanya, kejayaan memperoleh geran ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan bertepatan  dengan tujuan ITKAS ini ditubuhkan dengan salah satu objektif utamanya ialah untuk menjalankan penyelidikan berkait dengan sejarah dan tamadun Negeri Pahang. 

Beliau mengharapkan semoga ini merupakan titik permulaan kerjasama antara ITKAS, UMP dan Yayasan Pahang serta membuka ruang bagi lain-lain kerjasama di masa akan datang.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit