Skip to main content

Dr. Ahmad Irfan cipta iLocSolat aplikasi mudah alih hitungan waktu solat generasi baharu

GAMBANG, 10 OKTOBER 2023 - Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham, 45 telah mencipta iLocSolat Enhanced Geotagging Based Prayer Time Smart Application  yang merupakan aplikasi mudah alih hitungan waktu solat generasi baharu. 
Menurut anak kelahiran Selangor itu, sebelum ini waktu solat ditentukan mengikut zon waktu solat. 

“Contohnya, di Paya Besar, kita tertakluk kepada Zon 2 yang menggabungkan Kuantan, Pekan, Rompin dan Muadzam Shah. 

“Hitungan waktu solat pula berdasarkan titik rujukan paling barat dalam Zon berkenaan iaitu di Cempaka, Rompin.

“Kelemahan kaedah ini ialah secara praktikal, waktu solat di belah timur seperti di Kuantan masuk lebih awal, kadang-kadang seawal tujuh minit berbanding waktu rasmi zon,” katanya. 

Jelas beliau lagi, antara kesan praktis ini ialah terdapat perbezaan waktu ketara antara kawasan berhampiran sempadan negeri. 

“Yang paling ketara ialah di Tanjung Gemok, Rompin iaitu waktu solat mengikut Zon 2 mewakili kawasan itu lewat sehingga 5 minit berbanding sempadan Johor di Mersing. 

“Penyelidikan ini telah bermula sejak tahun 2019 apabila mendapat geran FRGS. 

“Manakala pada tahun 2023, ia telah siap di peringkat TRL8. 

“Penyelidikan ini bermula apabila terdapat beberapa rungutan daripada penduduk Tanjung Gemok mengenai perbezaan waktu solat kawasan mereka dengan Mersing,” ujarnya. 

https://news.ump.edu.my/general/dr-ahmad-irfan-cipta-ilocsolat-aplikasi-mudah-alih-hitungan-waktu-solat-generasi-baharu

Dr. Ahmad Irfan berkata, kekeliruan semakin memuncak khasnya semasa bulan Ramadan kerana membabitkan waktu imsak dan berbuka puasa. 

“Justeru, Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Sohibul Samahah, Yang Hormat Dato’ Seri Dr. Abdul Rahman Osman telah mencetuskan idea agar rungutan penduduk Tanjung Gemok disantuni. 

“Saya dibantu oleh rakan pensyarah Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman, Dr. Tuan Sidek Tuan Muda dan pembantu penyelidik, Afiq Adli Razali. 

“Penyelidikan ini membabitkan kolaborasi dengan Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan para cendekiawan falak serata Malaysia,” jelas beliau. 

Menurut beliau lagi, i-LocSolat menggunakan teknologi GPS dan geotagging di dalam telefon pintar moden. 
“Sistem akan mengesan lokasi anda dan membuat hitungan waktu solat yang tepat. 

“Pengguna boleh membandingkannya dengan waktu rasmi mengikut Zon.

“Penyelidikan ini akan membantu umat Islam untuk solat pada awal waktu yang lebih tepat, mengelakkan kekeliruan waktu solat di kawasan sempadan antara dua buah negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kertas untuk mencetak waktu solat mengikut zon,” katanya. 

Buat masa ini katanya, kegunaan aplikasi ini ialah untuk tujuan akademik dan kajian falak. 

“Kami berusaha untuk mendapatkan syor dan pandangan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang bagi membolehkan transisi penggunaan teknologi ini diaplikasikan ke masjid-masjid dan juga orang awam. 

Kos pembangunan aplikasi (self custom) untuk i-LocSolat ini adalah mengikut agensi atau syarikat iaitu sebanyak RM20,000.00.

“Saya berharap agar institusi kefatwaan dapat memberikan pandangan bagaimana teknologi ini dapat digunakan oleh orang awam secara berperingkat. 

“Ini termasuklah cadangan garis panduan penggunaan, syarat-syarat dan seumpamanya. 

“Lain-lain produk yang pernah dipatenkan ialah  iFalak dan iMawaqit,” katanya. 

Untuk rekod, Dr. Ahmad Irfan yang mempunyai kepakaran di dalam bidang Falak, Syariah dan Hadith itu pernah juga memenangi pingat emas dalam Malaysia Teknologi Ekspo (MTE)  2023, pingat emas di Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2022 dan juga pingat emas di International Invention, Innovation & Technology Exhibition  (ITEX) 2021. 

Disediakan oleh: Safriza Binti Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Safriza binti Baharuddin