Skip to main content

Pensyarah UMPSA cipta I-GCPM Modular bantu pelajar mendalami pengurusan projek dan peperiksaan pensijilan profesional

GAMBANG, 18 September 2023 - Penyelidik dan pensyarah kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Dr. Lee Chia Kuang, 38 telah menghasilkan penyelidikan bertajuk ‘A New Interactive Global Certified Project Management (I-GCPM) Modular’

I-GCPM Modular ialah konsep modular pengajaran pengurusan projek interaktif baharu yang menggabungkan DEMATEL Digraph, Risk Simulator dan latihan Modular yang disediakan melalui platform dalam talian.

Menurut Profesor Madya Dr. Lee Chia Kuang, ia bermatlamat untuk membantu pelajar mendalami pengurusan projek dan peperiksaan pensijilan profesional seperti Certified Associate in Project Management (CAPM®). 

“I-GCPM telah berjaya digunakan, diuji dan disahkan dalam pengajaran kepada 136 pelajar ke arah pensijilan CAPM®. 

“Sehingga tahun 2023, kesemua pelajar berjaya menjadi ahli Project Management Institute (PMI) Bertauliah, dan 48 daripada mereka adalah pemegang sijil bertauliah CAPM®,” katanya. 

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu telah memulakan penyelidikan ini sejak tahun 2019 dan konsep modular yang lengkap telah siap pada tahun 2021. 

Katanya, Modular yang diinovasi telah digunakandi  dalam Program ‘PMBOK® 6th Edition Training 1.0: Towards CAPM® Certification’ pada 1 Oktober 2020 di bawah Geran Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pengajian Tinggi yang bernilai RM 84,600.

“Manakala ‘PMBOK® 6th Edition Training 2.0: Towards CAPM® Certification’ pula pada 14 Januari 2021 di bawah Program PENJANA KPT-PACE yang bernilai RM 60,000.00 dan ‘PMBOK® 6th Edition Training 3.0: Towards CAPM® Certification’ pada 1 Julai 2023 di bawah Program PENJANA KPT-PACE yang bernilai RM 75,000.00.

“Idea ini bermula apabila permintaan pasaran terhadap pengurusan projek secara digital meningkat sejak tahun 2019 dan pengajaran dalam talian menjadi satu keperluan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020. 

“Usaha menginovasi telah dibuat pada modul-modul dan kaedah pengajaran supaya pelajar dapat memahami serta menguasai pengurusan projek secara berkesan melalui talian,” ujar beliau lagi.

Jelas beliau lagi, penyelidikan ini bermula atas inisiatif sendiri dan hasil sokongan geran MTUN Commercialisation Fund serta pelaksanaan konsep latihan modular melalui geran Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pengajian Tinggi dan program PENJANA KPT-PACE.

“Saya ingin merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi kerana memberi peluang untuk menguji keberkesanannya melalui Geran Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pengajian Tinggi, dan Program PENJANA KPT-PACE,” katanya yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Awam) dari University of Auckland, New Zealand. 

Menurut beliau lagi, I-GCPM berfungsi dalam 3 fasa utama iaitu Fasa 1: pelajar akan menerima bimbingan dan pengajaran teori mengenai kesemua 13 subjek pengurusan projek melalui latihan dalam talian. 

“Kesemua topik ini telah diadaptasikan daripada Project Management Book of Knowledge (PMBOK®) dan dipermudahkan untuk menjadikannya lebih mudah diakses dan difahami oleh para pelajar.

“Manakala Fasa 2: pelajar akan dibimbing melalui Risk Simulator, and DEMATEL Digraph, serta diajar konsep simulasi, tafsiran dan pengendalian projek secara kuantitatif. 

“Para pelajar akan mempelajari teknik-teknik membuat keputusan secara kuantitatif,” katanya. 

Tambahnya lagi, akhir sekali adalah Fasa 3: dalam fasa akhir ini, pelajar akan dibimbing melalui 150 soalan latih tubi dengan jawapan contoh berpandu. 

“Tahap kesukaran soalan-soalan yang direka dibahagikan kepada tiga tahap kesukaran iaitu: mudah, sederhana dan sukar.

“Hasil penyelidikan ini juga untuk bertujuan membolehkan pengajar mengajar dengan lebih baik, menyeragamkan pendekatan pengajaran pengurusan projek dengan lebih berkesan dan membantu pelajar ke arah persijilan bertauliah di dalam bidang Pengurusan Projek,” katanya. 

Menerusi inisiatif ini, ia juga dapat membantu negara membangun seperti Malaysia dalam usaha mengembangkan modal insannya dengan lebih cepat.

Beliau berharap fungsi dan penggunaan modular ini dapat diperluaskan kepada industri berlandaskan projek bagi memanfaatkan para pengamal dan ahli profesional pengurusan projek. 

“Inovasi ini adalah kesinambungan inovasi saya yang lain seperti E-GCPM Modular, DEMATEL Digraph dan mampu digunakan secara bersama untuk meningkatkan keberkesanan dan penguasaan pelajar dalam pengurusan projek,” jelas beliau. 

Terdahulu, beliau turut  memenangi pingat emas di ITEX 2019, pingat emas and Outstanding Innovation Award di MTE Sustainable Development Goals (SDG) International Innovations Awards (25 hingga 29 Oktober 2021), dan pingat emas di Malaysia Technology Expo (MTE) 2023 (16  hingga 18 Mac 2023). 

Disediakan oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Hafizatulazlin binti Abdul Aziz