Skip to main content

Penyedut Minuman Straw Jauhar Mesra Alam

Kuantan, 21 Januari- Menyedari kepentingan bagi memelihara pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada penggunaan barangan plastik, pelbagai inisiatif menggantikan penyedut minuman sedang diusahakan memandangkan straw  daripada bahan plastik mengambil masa lebih 500 tahun untuk terurai di samping mencemarkan alam serta boleh mengancam hidupan di bumi. 

Baru-baru ini sekumpulan mahasiswa daripada Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’azim (ISKANDAR) berjaya menghasilkan penyedut minuman daripada bahan semula jadi iaitu tumbuhan akuatik atau dinamakan pokok Kercut atau pokok Purun. Tumbuhan akuatik yang digunakan adalah sejenis rumput yang mempunyai ciri seperti rumput danau atau rumput liar yang hidup di kawasan berair seperti di sawah ataupun paya yang banyak terdapat di negeri di Pantai Timur. 

Bagi mahasiswa UMP, Nurul Farah Anisa Hairolnizam yang juga Pengarah Projek Jauhar Straw berkata, projek Straw Mesra Alam (Straw Jauhar) merupakan sebuah inisiatif bagi mencari alternatif  untuk mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik.  

“Awalnya ianya merupakan sebuah projek daripada Program Mahasiswa Harapan Masyarakat di bawah program Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang bertujuan untuk melatih mahasiswa untuk menjadi penggerak bagi membantu menaiktaraf hidup dan budaya masyarakat,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini penghasilan straw dibuat oleh pelajar UMP sendiri dan tidak menggunakan mesin. Selain itu, melalui projek ini akan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga ekosistem dan penjagaan alam sekitar. 

Bagi Dr Suryati Sulaiman yang merupakan Pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), penyelidikan berkaitan potensi pokok kercut ini telah dijalankan menerusi projek penyelidikan ‘’Phytogreen’ yang diketuai oleh Dr. Abdul Syukor Abd. Razak pada tahun 2012.  Kemudiannya kajian secara berperingkat-peringkat  sehinggalah terhasilnya Straw Jauhar ini sekitar tahun 2019. 

“Sebelum ini dinamakan pokok Kercut banyak digunakan bagi penghasilan  kraf tangan termasuk anyaman, tikar serta sebagai ubatan tradisional,” katanya yang juga Penasihat Utama Projek Jauhar Straw ini. 

Ujarnya, dalam memastikan ianya selamat digunakan terdapat lapan proses perlu dijalankan dan diuji tahap kebersihannya. Ianya termasuklah proses membersih, memotong mengikut saiz, membuang selaput dalam batang menggunakan sejenis berus khas dan menjemurnya mengikut tempoh masa tertentu.  

Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Projek Mahasiswa Harapan Masyarakat  UMP, Muhammas Haziq Hamizat, program yang mendapat sokongan pihak YPJ ini telah memberi peluang mahasiswa mendekati masyarakat, penduduk kampung dan belia.

Ciptaan inovasi ini turut memberi pekerjaan kepada golongan sasar untuk menjana pendapatan serta dapat dimanfaatkan kepada penduduk setempat. Pihaknya amat menghargai sokongan pihak YPJ terutamanya Pengurus Besar YPJ. Hj. Mahadon Marnin yang telah memberi kepercayaan kepada mahasiswa UMP dalam menjayakan projek ini.

Pada masa ini terdapat pelbagai penyedut minuman alternatif dalam pasaran antaranya penyedut kertas, besi, kaca, buluh atau tembaga. Malahan terdapat juga penyedut berasaskan bahan daripada beras dan ubi kayu sebagai pilihan.