Skip to main content

FTKPM kongsi kepakaran bersama pelajar Universitas Putra Indonesia YPTK

PADANG, INDONESIA, 11 Ogos 2023 – Staf dan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan program khidmat komuniti bersama pelajar Universitas Putra Indonesia, Yayasan Perguruan Tinggi Komputer (YPTK) baru-baru ini.
 
Seramai 12 orang termasuk lima orang staf dan tujuh orang pelajar UMPSA  menyertai program khidmat komuniti tersebut.

Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Dekan Akademik, Ts. Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid itu disambut Penyelaras Program Universitas Putra Indonesia YPTK, Dr. Nanang Fatchurrohman bersama pelajar dan pensyarahnya.
 
Menurut Ts. Dr. Muhammed Nafis, dalam program ini pihaknya melaksanakan dua modul iaitu kursus asas yang melibatkan reka bentuk 3D dan teknologi 3D printer.

  FTKPM kongsi kepakaran bersama pelajar Universitas Putra Indonesia YPTK

“Kursus Asas Reka Bentuk 3D melibatkan penyertaan daripada pengusaha industri kecil dan sederhana di sana bagi memberi pendedahan kepada teknologi rekabentuk secara maya berpandukan komputer.
 
“Manakala Kursus Asas Teknologi 3D Printer pula menyasarkan penyertaan daripada pelajar sekolah menengah bagi tujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Program selama tiga hari ini juga turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah di SMA Negeri 5 Padang dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dari Kampung Akrilik, RW 02, Berok, Kelurahan Gunung Pangilun,” katanya.

Beliau mengharapkan program khidmat komuniti ini dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak projek-projek kolaborasi serta kerjasama antara UMPSA dan YPTK di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
 
Dalam masa yang sama terdapat juga aktiviti pelajar FTKPM  beramah mesra bersama pelajar dari UPI, YPTK. 

Pendedahan ini memberi peluang pelajar UMPSA untuk menimba pengalaman sosiobudaya dan ekonomi masyarakat di sana.

Disediakan oleh: Nadira Hana Ab Hamid, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik

Reports by:
Nadira Hana binti Ab Hamid