Skip to main content

Karnival Sukan MASUM melabuhkan tirai, tinggalkan kenangan buat atlet UA

Kuantan, 03 Ogos – Karnival Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2019 melabuhkan tirai secara rasminya baru-baru ini setelah menamatkan 18 acara yang berlangsung selama dua minggu yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah penganjuran kali ini.

Majlis menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kekal juara dengan pungutan 64 pingat emas, 33 perak dan 35 gangsa dengan memonopoli acara taekwando, renang dan memanah. Ianya diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) 44 emas, 38 perak dan 27 gangsa manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat ketiga dengan pungutan 20 emas, 17 perak dan 28 gangsa manakala UMP berjaya memperoleh 9 emas, 5 perak dan 13 gangsa.

Dengan semangat kesukanan dan kebersamaan yang tinggi serta sokongan yang jitu menjadikan kesemua 20 Universiti Awam di Malaysia mampu melahirkan “The Thinking Athletes” seperti yang disasarkan dalam dasar Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Hadir merasmikan majlis penutup karnival MASUM adalah Ahli Lembaga Pengarah UMP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Rosli Yunus, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Rosli Abu Bakar, Penolong Setiausaha Agong 1 MASUM, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi, Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hj. Mohd Fisol Hj. Saud dan Dekan Perkhidmatan Pelajar UMP, Dr. Mansor Sulaiman.

Menurut Prof Dato’ Ts. Dr. Rosli Yunus, kejayaan sesuatu kejohanan itu dapat dilihat dengan jumlah penyertaan dan penglibatan semua pihak dalam memastikan kejayaan penganjurannya. Dalam konteks pertandingan, sudah menjadi adat resam dalam pertandingan terdapat ada yang menang dan ada yang tewas. Namun demikian, kesemua atlit seramai 4323 saling bekerjasama, berganding bahu dan saling menyokong antara satu sama lain dalam setiap acara yang dipertandingkan.

“Kerjasama dan sokongan semua pegawai Universiti merupakan tunjang kekuatan kepada UMP dalam menjadi penganjur yang terbaik dalam melaksanakan kejohanan ini di samping sokongan yang tidak berbelah bagi dari pihak KPM. Kami juga mengharapkan agar KPM dapat menyokong UMP dalam menyediakan peruntukkan bagi membina fasiliti sukan yang diiktiraf oleh persatuan antarabangsa terutamanya di kampus Induk UMP dalam usaha membangunkan sukan di universiti serta menggalakan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa,” ujar beliau.

Tambah beliau, selaku tuan rumah, UMP telah cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik dari segi layanan serta sambutan kepada semua atlet dan pasukan sepanjang MASUM 2019 berlangsung di samping merakamkan penghargaan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menyumbangkan khidmat bagi menjayakan MASUM 2019.

Dalam majlis ini Prof Dato’ Ts. Dr. Rosli turut menyerahkan bendera kejohanan MASUM kepada pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mana UiTM akan menjadi tuan rumah pada Karnival Sukan MASUM 2020.

Karnival  menyaksikan penyertaan seramai 4323 atlet dengan mempertandingkan 18 acara sukan seperti catur, renang dan memanah yang dijuarai oleh UiTM, Karate (UPNM), olahraga (UPM), badminton (UKM), catur (UITM), ping pong (USM), Ragbi (UPM), petanque (UiTM), sepak takraw (UPM), bola tampar (UPM), taekwando (UiTM).

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri