Skip to main content

Kelab Rekreasi UMPSA (T-Rex) rai Aidilfitri dengan cabaran White Water Rafting

SUNGKAI, 28 April 2024 – Seramai 35 orang Ahli Kelab Rekreasi UMPSA (T-Rex), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan Aidilfitri dengan cara mereka tersendiri iaitu menerokai keindahan alam semula jadi sambil melaksanakan aktiviti ‘White Water Rafting’ atau Rakit Redah Jeram di Sungai Sungkai, Perak Darul Ridzuan pada 27 hingga 28 April baru-baru ini.

Di samping meraikan Aidilfitri, para ahli Kelab T-Rex turut mengambil kesempatan ini untuk mencabar diri menjalankan aktiviti rekreasi sihat untuk mengukuhkan lagi kesepaduan dalam organisasi mereka.  

Menurut Presiden Kelab T-Rex, Nazhan Masngut dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), aktiviti ini juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan pengalaman baharu kepada peserta melalui aktiviti air yang mencabar serta memberi peluang bagi penerokaan persekitaran baharu terutama bagi ahli kelab T-Rex yang pertama kali menyertai aktiviti rekreasi lasak seperti ini. 

“Para peserta turut didedahkan dengan kemahiran asas dalam berkhemah dan aktiviti kemandirian (survival) di dalam hutan pada hari pertama. 

“Aktiviti ini juga mampu memupuk semangat kerjasama untuk memastikan keselesaan mereka berkampung dua hari satu malam di tapak perkhemahan. 

“Pada hari kedua, para peserta kelab memulakan ekspedisi meredah jeram dengan arus air yang mencabar dan mendebarkan,” katanya.

Namun jelas beliau lagi, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan. 

Kelab Rekreasi UMPSA (T-Rex) rai Aidilfitri dengan cabaran White Water Rafting

Kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed bersama-sama dengan para peserta untuk berkhemah dan menjalankan aktiviti meredah jeram itu menambahkan semangat para peserta. 

Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim berkata, aktiviti merakit meredah jeram ini bukan sahaja menawarkan pengalaman merasai aura adrenalin namun juga memberikan peluang yang sempurna untuk membina kerja berpasukan dan komunikasi sepanjang aktiviti berlangsung. 

Selain itu, mengemudi rakit ke lokasi penamat sungai juga memerlukan usaha dan kerjasama daripada semua peserta.

Malah, ia juga mampu untuk memupuk kemahiran komunikasi, menyelesaikan masalah dan rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan ahli kelab.

Turut hadir merasai pengalaman kira-kira dua jam menelusuri Sungai Sungkai ialah Pengarah Akademi Adab, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Haykal Halid. 

Disediakan Oleh: Muhammad Aizat Azed, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri