Skip to main content

Pasukan wanita Tenpin Boling UMP rangkul pingat emas Kejohanan Tenpin Boling IPT Pantai Timur 2023 Siri 3

TUNJONG, 13 Julai 2023 - Pasukan wanita atlet Tenpin Boling Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya merangkul pingat emas bagi kategori kumpulan dan meraih pingat di setiap kategori pada kejohanan Tenpin Boling IPT Pantai Timur 2023 bertempat di Lite Superbowl JB7, Tunjong, Kelantan baru-baru ini.  

Kejohanan tiga hari itu disertai Suriani Suhaimi dari Jabatan Bendahari, Nurul Najlaa Zakaria dari Jabatan Pendaftar, Ezrinda Mohd Zaihidee dari Pusat Sains Matematik (PSM) dan Siti Murzalina Sh Murad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE). 

Selain itu juga, Ezrinda Mohd Zaihidee turut meraih tempat kedua bagi kategori Individu Wanita dan Siti Murzalina Sh Murad pula meraih tempat ketiga bagi kategori yang sama. 

Gabungan beregu di antara Ezrinda dan Siti Murzalina bagi kategori Beregu Wanita turut berjaya memenangi tempat pertama bagi dengan menewaskan pasukan beregu wanita Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang telah mendapat tempat kedua.

Manakala Nurul Najlaa Zakaria dari Jabatan Pendaftar dan Norshuhada Muhd Nordin dari Pusat Teknologi  Maklumat dan Komunikasi (PTMK) pula mendapat tempat ketiga bagi kategori Beregu Wanita. 

Ezrinda turut melahirkan rasa syukur dan gembira apabila pasukan UMP berjaya meraih pingat bagi setiap kategori. 

"Memandangkan kekangan kerja masing-masing menyebabkan kami agak sukar untuk menjalani latihan secara berkumpulan.

“Sesi latihan hanya dapat dilakukan secara bersendirian. 

"Namun Alhamdulillah, atas semangat berpasukan, kami berjaya meraih kejayaan pada kali ini," katanya. 

Pasukan lelaki pula tidak kurang yang terdiri daripada Mustafa Kamal Daud dan Mohd Roslan Muhamad dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Profesor Madya Dr. Zuwairie Ibrahim dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) serta  Irwan Shah Rizal Amir Hamzah dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA)

Mustafa Kamal Daud dan Profesor Madya Dr. Zuwairie Ibrahim turut meraih tempat pertama bagi kategori Beregu Lelaki apabila berjaya menewaskan beregu dari UIAM.

Pasukan wanita Tenpin Boling UMP rangkul pingat emas Kejohanan Tenpin Boling IPT Pantai Timur 2023 Siri 3

Menurut Mustafa Kamal Daud, beliau tidak menyangka dengan kemenangan ini kerana saingan yang amat hebat, namun bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada penganjung program ini. 

"Terima kasih kepada UMP terutama Pusat Sukan yang banyak memberi dorongan dalam kejayaan ini.

“Diharapkan semua pasukan dapat meneruskan usaha untuk sama-sama mengharumkan nama universiti," katanya. 

Pada masa yang sama, enam daripada mereka berpeluang untuk bertanding di dalam acara Kategori Master All Event.

Ia mempertandingkan sepuluh atlet yang terbaik dalam markah keseluruhan.

Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Mohd Aznorizamin Ismail turut mengucapkan tahniah kepada Pasukan Tenpin Boling UMP atas kemenangan membawa pulang keseluruhan tiga emas, satu perak dan dua gangsa.

Kejohanan Tenpin Boling IPT Pantai Timur ini merupakan anjuran Kelab Kesihatan dan Kesejahteraan Masyarakat Kelantan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi, USM Kampus Kesihatan dan Lite Superbowl JB7, USM. 

Selain UMP, kejohanan ini turut disertai beberapa IPT antaranya seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Politeknik Kota Bharu.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris