Skip to main content

UMPSA dan Tianjin University tawar program Ijazah Dual 

TIANJIN CHINA,  5 Disember 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tianjin University (TJU) bagi membuat persediaan program Ijazah Dual (Dual Degree) antara UMPSA dengan TJU.

Delegasi diketuai oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor  Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin diiringi Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Professor Madya Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin, Pengarah Confucius Institute (Malaysia), Yong Ying Mei, Pengarah Pusat Hubungan Universiti Industri, Profesor Madya Dr. Chin Sim Yee dan Pengurus Kanan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Rosilavi  Mat Jusoh. 

Hadir menyambut delegasi Timbalan Presiden TJU, Profesor Gong Jinlong, Dekan Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Teknologi, Profesor Fan Xiaobin, Penolong  Dekan Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Teknologi, Profesor Madya Liu Hongli, Pengarah Pejabat Sekolah Pendidikan Antarabangsa, Profesor Li Qiang dan Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa, Dr. Zhang Zhen.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA dan TJU telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi penawaran program Ijazah Dual UMPSA-TJU pada tahun 2021.

 “Kini, seramai 16 orang pelajar UMPSA sedang mengikuti Program Ijazah Dual UMPSA-TJU kohort pertama tahun pertama. 

“Para pelajar ini akan menyambung pengajian ke TJU pada tahun ketiga dan tahun keempat,” katanya.

Mereka yang mengikuti Program Ijazah Dual UMPSA-TJU ini akan mempelajari bahasa Mandarin di UMPSA dan dikehendaki lulus dalam Ujian Kefasihan Bahasa Mandarin Antarabangsa (HSK) tahap tiga dan kemudiannya sambung belajar bahasa Mandarin di TJU serta lulus HSK 4 sebelum tamat pengajian pada tahun keempat di TJU. 

Pada masa yang sama, delegasi UMPSA turut melawat sekitar kampus TJU seperti asrama, kantin, School of International Education, School of Chemical Engineering and Technology dan makmal fakulti. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menggalakkan para pelajar UMPSA untuk mengikuti program mobilti ke TJU dan staf FTKKP untuk menjadi profesor pelawat. 

Sementara itu, jalinan kerjasama antara UMPSA dengan TJU yang bermula sejak tahun 2016 itu juga menyaksikan seramai tiga orang pelajar UMPSA berjaya menerima biasiswa China bagi mengikuti Program Bahasa Mandarin dan Kebudayaan China di TJU dengan memperoleh keputusan HSK yang cemerlang.

Di samping itu, UMPSA juga telah menjadi ahli ASEAN-China Network for Cooperation and Exchanges among Engineering and Technology University (ACNET-EngTech) pada tahun 2020. 

UMPSA juga bekerjasama dengan TJU dalam penganjuran persidangan, menjadi panel forum kajian Kimia dan profesor pelawat di TJU. 

Disediakan oleh: Yong Ying Mei, Confucius Institute (Malaysia), UMPSA.

Reports by:
Admin UMP News