Skip to main content

UMPSA raikan 22 tahun jalinan kerjasama bersama media dan rakan kolaborasi di Majlis Iftar

KUANTAN, 2 April 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan hampir 100 wakil media dan rakan kolaborasinya dalam Majlis Iftar sempena 22 tahun menjalinkan kerjasama yang erat.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berharap agar hubungan silaturahim yang telah terjalin sejak 22 tahun ini akan dapat terus dijalinkan antara UMPSA dengan rakan media dan rakan kolaborasi khususnya dalam menyalurkan berita dan berkongsi maklumat dari semasa ke semasa demi kepentingan masyarakat, khususnya dalam meningkatkan tahap pendidikan tinggi rakyat di negara ini.

“Penganjuran program ini merupakan inisiatif UMPSA menerusi Pusat Komunikasi Korporat (PKK) bagi meraikan dan mengiktiraf kerjasama dan sumbangan pihak media yang selama ini, telah banyak membantu dalam menyebarluas liputan publisiti mengenai universiti.

“Majlis ini juga adalah sebagai tanda terima kasih kepada pihak media yang selama ini sentiasa memberi sokongan padu dan tanpa jemu terutamanya dalam menyebar luas kejayaan universiti serta meningkatkan lagi imej dan citra UMPSA,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena program Majlis Iftar UMPSA bersama Media dan Rakan Kolaborasi ‘Indahnya Ramadan Al-Mubarak’ di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. 

UMPSA raikan 22 tahun jalinan kerjasama bersama media dan rakan kolaborasi di Majlis Iftar

Tambah beliau, UMPSA sentiasa berusaha dalam meningkatkan kualiti pendidikan demi memberikan yang terbaik buat mahasiswa. 

“UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) di Malaysia yang menerima pentauliahan Persijilan Antarabangsa Institut of the Motor Industry (IMI) United Kingdom sebagai salah sebuah pusat latihan kenderaan hibrid dan elektrik. 

“Pelatih yang mendapat sijil profesional daripada IMI ini layak untuk bekerja di luar negara yang mengiktiraf sijil daripada IMI. 

“Pencapaian ini membolehkan lebih ramai pelatih teknikal berkemahiran dan diiktiraf dunia dilahirkan khususnya dalam bidang penyenggaraan kenderaan elektrik keluaran pengeluar dari seluruh dunia,” katanya ketika berkongsi mengenai perkembangan terbaharu universiti. 

Menurutnya lagi, agenda pengantarabangsaan turut menjadi fokus utama universiti bagi merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM [PT] seiring dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025.

“Ini dapat dibuktikan apabila program ijazah dual UMPSA hasil kerjasama dengan universiti di Jerman sejak 14 tahun lalu bersama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrik telah berjaya melahirkan ramai graduan kompeten yang menyumbang kepada pembangunan negara. 

“Ini termasuklah Program Kejuruteraan Perniagaan bersama rakan baharu dari Mannheim University of Applied Sciences (HMA) yang bakal memulakan pengambilan pelajar pada tahun ini.

“Selain itu juga, UMPSA telah menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian di China, Beijing iaitu Jiaotong University (BJTU) bagi program ijazah dual yang membabitkan pengajian selama sembilan semester iaitu dua tahun pengajian di UMPSA dan baki dua setengah tahun di BJTU dalam bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, dalam usaha menyokong pembangunan bakat industri pengangkutan rel di Malaysia, UMPSA telah menerima sokongan yang besar dari pihak Kementerian Pendidikan Tinggi serta badan-badan penajaan seperti     Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Siri pertama, seramai 20 pelajar dan staf UMPSA menyertai Program Malaysia-China Advanced TVET Mobility 2024 (MyCHAT’24) yang memberi peluang peserta  menjalani latihan up-skill di Beijing Polytechnic, selama sepuluh hari bermula 11 Mac sehingga 20 Mac 2024 dalam  bidang Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent) meliputi Electric Vehicle (EV), Heritage Railway Technology, e-Commerce, Advanced Manufacturing Automation (Robotik), Good Manufacturing Practices (GMP), Data Science, Analytics dan Health Sciences dan Chinese Cultural & Heritage.

“Program Ijazah Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Industri telah mendapat akreditasi dari Institute of Analytics (IoA), United Kingdom. 

“IoA adalah sebuah badan profesional yang terkenal di peringkat global bagi Analitis dan Data Sains,” katanya. 

Program Ijazah Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian ini merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia yang mendapat akreditasi dari IoA.

Dalam majlis itu juga, Profesor Ts. Dr. Yuserrie turut menyerahkan cenderamata kepada pihak media. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Ariffin Awang, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Rida Suzirawati Muda, Setiausaha Sulit Kepada KDYMM Tengku Ampuan Pahang, Zamzurina Ahmad, Ketua Biro Negeri, Sinar Harian, Nik Amirul Mu'Min, Ketua Biro TV3, Fazli Ahmad, Ketua Biro News Straits Times, Alagesh a/l Theruvarul Nathan, Ketua Biro The Star, Ong Han Sean, Ketua Biro Utusan, Shofi Mohamad Isa, Ketua Biro Bernama, Sakini Mohd Said, Ketua Biro The China Press, Lee Woon Wei dan Ketua Biro Sin Chew Daily, Lee Woon Wei.

Disediakan Oleh: Naqiah Binti Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Zaffaruddin Hamzah

Reports by:
Naqiah Puaad