Skip to main content

FLOORSYS raih pingat emas dalam KIK UA Ke-16

JOHOR, 4 Oktober 2022 - Kumpulan FLOORSYS daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya meraih pingat emas dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam Ke-16 yang diadakan di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini.

Sistem FLOORS merujuk kepada akronim bagi Faculty Lab Online Open Reservation System yang merupakan sistem yang memudahkan urusan tempahan slot makmal bagi pelajar-pelajar yang ingin menggunakan makmal berbanding sebelum ini mengunakan kaedah tempahan secara manual.

Menurut ketua kumpulan FLOORSYS, Nor Azmi Sabri, sistem ini menjadi hab atau pusat sehenti untuk pengurusan makmal secara elektronik yang menekankan konsep internet benda (Internet of Things, IoT).

“Projek ini telah bermula pada tahun 2018 dengan kerjasama Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK).
 

Floorsys raih pingat emas dalam KIK UA Ke-16

“Penggunaan sistem ini telah diseragamkan ke semua makmal FTKA sejak dari bermulanya kemasukan pelajar ke UMP secara berperingkat selepas pandemik COVID-19.

“Manfaat terbesar terutamanya ketika waktu pandemik sebelum ini apabila pihak makmal FTKA berjaya mengadakan sistem kemasukan makmal oleh para pelajar secara kuota dan sistematik melalui Sistem FLOORS ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli kumpulan, fakulti, pengurusan UMP, penasihat dan semua terlibat yang banyak memberi galakan sepanjang penghasilan sistem ini.

Turut menyumbang pingat, Kumpulan CIReL yang diketuai Dr. Al-Fahim Mubarak Ali dan Kumpulan OSERA PLUS yang diketuai Dr. Wan Norlinda Roshana Mohd Nawi dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) yang berjaya meraih pingat perak.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.

Hadir sama ialah Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Profesor Dr. Chong Kwok Feng dan Pengurus PHKK, Helmi Mohamed Isa.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pemenang yang telah berjaya dalam program ini.

Ujarnya, pihak universiti sentiasa menyokong warga UMP dalam peningkatan budaya inovasi dalam perkhidmatan.

“Persekitaran kerja kini sememangnya menuntut sistem penyampaian yang lebih inovatif dalam menghasilkan perkhidmatan yang dapat memenuhi dan melangkaui kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau turut mengharapkan kejayaan ini akan menyuntik semangat warga UMP untuk lebih membudayakan inovasi dalam memastikan perkidmatan yang berkualiti.

Konvensyen kali ini menyaksikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi johan keseluruhan.

Dalam pada itu, UMP turut diumum sebagai tuan rumah penganjuran Konvensyen KIK Kali Ke-17 pada tahun hadapan.

 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad. Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris