Skip to main content

Temu Mesra Bersama 100 Alumni Sabah UMPSA eratkan hubungan silaturahim

KOTA KINABALU, 16 September 2023 - Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan Majlis Temu Mesra bersama Alumni Sabah bertempat di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu baru-baru ini. 

Majlis yang julung kali diadakan pada tahun ini dihadiri seramai 100 alumni. 

Pertemuan itu secara dasarnya dapat mengembalikan kenangan alumni semasa menuntut di universiti di samping menjalinkan kerjasama erat antara para alumni dan warga UMPSA khususnya dalam menjayakan aktiviti dan program untuk manfaat bersama. 

Kemeriahan majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah UMPSA (Wakil Alumni), Madyasir Ahmad Basir bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Ts. Dato’ Izwan Hasli Mohd Ibrahim dan Farrah Ain Madzlan. 

Temu Mesra Bersama 100 Alumni Sabah UMPSA eratkan hubungan silaturahim

Turut sama hadir Pengarah Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Azri Alias. 

Menurut Madyasir, hubungan dan kerjasama bersama para alumni ini adalah penting dalam membina dan membantu alma mater untuk lebih cemerlang serta gemilang pada masa akan datang. 

"Kami percaya dengan pengalaman dan kepakaran yang para alumni miliki ini akan meningkatkan lagi lebih banyak kejayaan universiti dalam menghasilkan program yang berimpak tinggi serta membuka lebih banyak peluang penerokaan kepada bidang-bidang lain yang diperlukan dari semasa ke semasa," katanya.

Bersempena pertemuan itu juga, pihak Pusat Perhubungan Alumni turut mengadakan Program Alumni Turun Padang yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH), Tuaran yang melibatkan seramai 20 orang alumni UMPSA. 

Ts. Dr. Azri berkata, program ini merupakan inisiatif universiti bagi mengukuhkan kerjasama strategik bersama para alumni dalam keterlibatan bersama bagi melaksanakan aktiviti dan program yang dirangka.

Temu Mesra Bersama 100 Alumni Sabah UMPSA eratkan hubungan silaturahim

“Dalam program ini, alumni berpeluang berkongsi pengalaman ketika bergelar sebagai mahasiswa di UMPSA suatu ketika dahulu. 

“Selain itu, perkongsian ini juga dapat memberi gambaran awal kepada seramai 236 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 SMESH untuk membuat persediaan melanjutkan pengajian di universiti bagi menentukan laluan kerjaya mereka. 

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada aktiviti penjenamaan UMPSA bagi menguar-uarkan nama baharunya di samping mempromosikan program akademik yang ditawarkan oleh universiti,” katanya.

Sehingga kini, UMPSA mempunyai seramai 38,747 orang alumni tempatan dan 946 alumni antarabangsa. 

UMPSA juga sentiasa mengalu-alukan penglibatan alumni untuk menyumbang kepada universiti tidak kira dalam apa jua bentuk sumbangan atau khidmat yang dapat memberi manfaat bersama. 

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
ainaa adhreena