Skip to main content

Nurul Wahidah dan Noraisah Nurul Fatwa dinobatkan pemenang AAU

KUANTAN, 3 Oktober 2023 - Nurul Wahidah Arshad dan Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali dinobatkan pemenang Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2022 dalam majlis Anugerah Cendekia Bitara ‘22 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdulla (UMPSA) yang telah diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan baru-baru ini.

Anugerah Akademik Universiti (AAU) anjuran Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) itu merupakan antara anugerah tahunan berprestij UMPSA yang merangkumi dua anugerah utama iaitu Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Menurut Nurul Wahidah yang memenangi Anugerah Pengajaran, sepanjang menjadi pendidik, beliau telah menerima pelbagai teguran dan komen daripada pelajar. 

“Antara komen yang memberikan tamparan hebat buat diri saya adalah apabila ada pelajar mengkritik teknik pengajaran iaitu dengan tidak hanya bergantung kepada slaid sahaja dan mahukan saya menulis di papan putih juga supaya mereka lebih memahami apa yang diajar.

“Kritikan seperti itu telah memberi kesedaran dan motivasi kepada saya untuk membaiki teknik pengajaran dalam kelas dari semasa ke semasa.

“Saya mengintegrasikan teknologi dalam kaedah pengajaran dan berusaha keras untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang memberi impak positif kepada pelajar,” ujarnya. 

Beliau turut memberi tumpuan kepada penglibatan pelajar, memberi mereka sokongan dan dorongan untuk mencapai kecemerlangan akademik. 

“Keberkesanan transisi teknik pengajaran yang dilakukan boleh dilihat melalui komen berikut,” ujarnya yang telah melanjutkan pengajian sarjana di Newcastle University, United Kingdom. 

Beliau juga berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan sekerja yang turut membawa kepada kemenangan ini.

Tambahnya, kejayaan memenangi anugerah ini adalah hasil daripada usaha-usaha inovatif dalam bidang pendidikan yang telah beliau lakukan. 

“Antaranya yang telah saya lakukan adalah membangunkan kursus modular, kursus micro-credential, alat kit pengajaran yang membawa pengalaman di dalam makmal ke bilik kuliah, mengubah pendekatan teori kepada pendekatan aplikasi sebenar dalam makmal dan projek pelajar, pembelajaran anjal melalui video-video pengajaran yang menarik, transisi daripada peperiksaan bertulis kepada peperiksaan digital menggunakan KALAM, seterusnya terlibat dalam menyediakan kertas kerja penambahbaikan struktur silibus kursus yang diajar. 

“Terkini, inovasi-inovasi dalam bidang pendidikan yang dilakukan telah diiktiraf dalam International University Carnival on E-Learning 2023 (IUCEL) dengan merangkul tiga pingat emas dan berjaya mendapat dua geran penyelidikan (teaching and learning) di UMPSA,” ujarnya.

Beliau turut menitipkan pesanan buat rakan-rakan pendidik supaya menghargai dan menggunakan idea, teknik dan alat bantu mengajar di luar sana yang boleh diambil manfaat oleh para pendidik dalam menjayakan pengajaran yang berkualiti. 

“Nasihat saya, pilih satu yang mudah dan sesuai dengan jiwa, kekal istiqamah menggunakannya sebaik mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

“Impian saya adalah untuk terus menyumbang kepada bidang pendidikan dengan membimbing pelajar untuk mencapai potensi terbaik mereka. 

“Setiap golongan pelajar wajar diraikan di dalam kelas dengan memberi sokongan yang bersesuaian dengan tahap masing-masing,” katanya. 

Beliau berharap dapat terus melibatkan diri dalam aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam pengajaran, membawa pengalaman pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar dan menyumbang kepada pembangunan komuniti akademik di UMPSA dan di Malaysia. 

Manakala menurut Noraisah Nurul Fatwa yang memenangi Anugerah Ahli Akademik Harapan yang telah berkhidmat sejak tahun 2013 sebagai guru bahasa amat berbesar hati atas pengiktirafan yang dianggap sebagai dedikasi berterusan beliau selama sepuluh tahun di UMPSA. 

“Saya membuat persediaan selama setahun untuk menyediakan dokumentasi Teaching Portfolio untuk mempamerkan perjalanan saya sebagai ahli akademik. 

“Pemilihan topik dan teknik yang berkesan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) juga amat penting.

“Perkara pertama yang dititikberatkan adalah pelajar saya. 

“Ini kerana, penting untuk saya mengambil tahu dan mengenali mereka dalam menyediakan pelan pengajaran saya,” katanya. 

Selain itu tambahnya, beliau perlu rajin dalam mencuba sesuatu yang baharu seperti menggunakan kaedah inovasi dalam kajian tindakan dan sentiasa menambah baik kaedah pengajaran dari semasa ke semasa,” ujarnya yang kini sedang melanjutkan pengajian separuh masa pada peringkat sarjana di UMPSA. 

Penerima Anugerah Kajian Tindakan pada tahun 2022 itu juga turut menitipkan pesanan kepada semua pensyarah untuk tidak segan bertanya kepada pensyarah senior kerana pengalaman yang mereka ada adalah sangat berharga. 

Beliau berharap supaya dapat mengekalkan momentum kerja lebih baik, menjadi ahli akademik yang berkualiti dan melibatkan diri secara langsung dalam bidang penyelidikan.

Anugerah ini telah bermula pada tahun 2009 melalui Anugerah Pensyarah Cemerlang bagi menghargai jasa ahli akademik yang telah menonjolkan kecemerlangan dan kreativiti dalam aspek PdP. 

Ia juga dilihat sebagai satu bentuk penghargaan oleh universiti kepada ahli akademik yang telah menunjukkan usaha dan komitmen dalam membentuk pelajar menjadi cemerlang dan bersifat holistik.

Anugerah disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anugerah Cendekia Bitara 2022.

Bagi Anugerah Pengajaran, pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil penghargaan berserta trofi dan bagi Anugerah Ahli Akademik Harapan, pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, sijil penghargaan beserta trofi.

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta