Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

MTUN tawar Program Sarjana Muda Teknologi

BIL. 36  JUN 2019

Inisiatif penawaran Program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology – B.Tech.) oleh Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia  (MTUN) yang terdiri daripada empat Universiti Awam (UA) iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dilancarkan pada 25 Jun 2019 yang lalu merupakan satu pencapaian bersejarah dan mercu tanda yang amat penting dalam melengkapkan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.
 
Pelancaran program yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ini merupakan isyarat penting kesungguhan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan TVET sebagai pemacu kemajuan Malaysia. 

BIL. 36  JUN 2019

Ia juga akan menyegarkan semula aliran TVET Malaysia dengan nafas baharu yang mengangkat martabat TVET sebagai aliran pendidikan perdana, dan bukan lagi alternatif kelas kedua sebagaimana persepsi negatif sesetengah pihak sebelum ini.
 
Menurut Dr. Maszlee, sinergi pelbagai pihak yang merentasi pelbagai sektor dalam pembangunan kurikulum B.Tech.ini telah menjadikan program ini amat praktikal dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan negara kini dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

BIL. 36  JUN 2019

Beliau merakamkan pengjhargaan kepada rakan-rakan industri dan pakar-pakar dari Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Majlis Amanah Rakyat, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, MTUN dan MBOT yang telah bertungkus-lumus memerah minda dalam proses pembangunan kurikulum B.Tech. sehingga berjaya direalisasikan.
 
“Program ini juga telah ditanda aras dengan program Meister di Republik Persekutuan Jerman dan pihak Malaysia-German Chambers of Commerce and Industry (MGCCI) telah memaklumkan kesediaan untuk menjadi rakan kerjasama MTUN untuk memastikan para graduan B.Tech. ini turut menerima Meister Germany yang diiktiraf oleh lebih 400 syarikat yang bernaung di bawah MGCCI,” katanya dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang. 

BIL. 36  JUN 2019

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah  Tapsir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.
 
Dalam pada itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, program Sarjana Muda Teknologi MTUN ini merupakan program artikulasi untuk pelajar lepasan DVM/DKM/DLKM untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran hands on untuk  mengiktiraf kemahiran aliran TVET sebagai agenda memperkasakan TVET.
 
“Program ini bakal ditawarkan kepada calon-calon yang layak mulai sesi pengambilan pada bulan September ini meliputi sepuluh bidang teknologi iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak & Gas, Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Teknologi Pembinaan Bangunan, Teknologi Penyejukan & Penyaman Udara Industri, Teknologi Automasi Elektronik Industri, Teknologi Keselamatan Pekerjaan & Kesihatan dan Teknologi Hospitaliti mengikut bidang fokus setiap universiti MTUN berkenaan.
 
“Selain itu, penawaran program ini adalah inisiatif artikulasi bagi maksud pensiswazahan lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) daripada pelbagai saluran institusi penyedia TVET di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan kemahiran kreatif-tangan (craftsmanship) dalam sepuluh bidang teknologi tersebut,” ujar beliau. 
 
Turut berlangsung Siri Bicara Cendekiawan Mulia (Distinguished Scholar Discourse Series) yang julung-julung kalinya diadakan hasil inisiatif Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD) UMP yang merupakan satu gelanggang intelektual yang berprestij. 

Edisi pada kali ini menampilkan tokoh-tokoh terkenal dalam membincangkan mengenai tajuk 'Cabaran Pemerkasaan TVET: Ke Mana Kita?' bagi berkongsi kepakaran masing-masing. 

Panel terdiri daripada Presiden Lembaga Teknologis Malaysia, Tan Sri Dato’ Academician Ir. (Dr.) Ts. Ahmad Zaidee Laidin, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman, Pendaftar Lembaga Teknologis Malaysia, Ts. Mohd. Nazrul Marzuke dan Pengarah Pusat Inovasi & Daya Saing Akademik (CAIC) UMP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rusllim Mohamed sebagai  moderator.    


Akademik dan Antarabangsa

Pendidikan STEM acuan pembangunan modal insan

Penganjuran Kolokium Pendidikan STEM mampu meningkatkan kompetensi, pengetahuan dan kemahiran guru bagi memantapkan PdP berkaitan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan memperoleh maklumat terkini berkaitan kerjaya STEM untuk disebar luas kepada murid. 

Selain itu, ianya turut mewujudkan rangkaian kerjasama antara penggubal dasar, ahli akademik, pendidik, kaunselor, agensi kerajaan dan bukan kerajaan berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan program berkaitan pendidikan STEM serta berkongsi amalan terbaik dalam menjayakan pendidikan STEM. 

BIL. 36  JUN 2019

Keberhasilan yang diharapkan melalui penekanan kepada pendidikan STEM ialah murid yang boleh berfikir secara logik, mereka cipta, menggunakan teknologi dan menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif bagi menyediakan sumber tenaga kerja yang kompetitif bagi memacu kemajuan ekonomi negara. 

Kolokium anjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 25 Jun 2019 yang lalu. 

BIL. 36  JUN 2019

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr. Habibah Abdul Rahim dan Pengarah BPPDP,  Dr. Haji Ahmad Rafee Che Kassim. 

Menurut Dr. Maszlee, berdepan dengan cabaran ini, bidang pendidikan juga harus ada perubahan dalam fokus, dan berharap dengan berkembangnya bidang STEM, kita mampu memberikan pendidikan yang menepati tonggak revolusi Industri 4.0 ini bertepatan dengan pekerjaan masa hadapan. 

BIL. 36  JUN 2019

“STEM dikatakan merupakan bidang pengajian atau mata pelajaran yang sering dikatakan berat dan susah oleh murid di sekolah. 

“Minat dan peratus murid yang mengambil aliran sains atau dalam bidang STEM juga dilihat semakin menurun dari tahun ke tahun. 

“Sikap terlalu obses untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan menjadikan bilangan murid yang memilih kelas aliran sains semakin menurun kerana mereka tidak yakin untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan walaupun mempunyai minat dalam bidang STEM,” ujarnya. 

Malah katanya lagi, melalui tinjauan yang dijalankan, terdapat murid-murid yang menukar aliran daripada aliran Sains semasa di sekolah kepada bidang-bidang lain semasa di universiti. 

“Sedangkan bidang-bidang seperti bioteknologi, teknologi nano, kejuruteraan mekanikal, robotik dan big data menjadi semakin penting pada masa hadapan.

“Justeru, kita perlu berubah pada masa hadapan bagi menanam minat terhadap STEM ini dengan mempelbagaikan aliran yang boleh diambil pelajar seperti yang dilaksanakan di luar negara. 

“Untuk hidup dalam super smart societyatau ringkasnya Society 5.0, masyarakat Jepun dikatakan perlu lebih maju dalam teknologi khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan Internet of Things, AI (artificial intelligence), cyber-physical systems, Big Data dan lain-lain teknologi yang berkaitan,” katanya. 

Tambah beliau, penerapan budaya rakyat Jepun yang mempunyai sikap rajin bekerja, tidak berputus asa, berdisiplin dan amanah mendasari budaya tersebut dalam membentuk negara maju. 

Dalam pada itu, menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, UMP sebagai sebuah Universiti Awam (UA) yang berfokuskan teknikal sentiasa komited mendukung agenda KPM untuk bukan sahaja mengembangkan pendidikan STEM, tetapi juga dua lagi unsur tambahan yang diberikan perhatian iaitu Reading dan Arts, yang melengkapkan gagasan STREAM. 

“Walaupun universiti ini merupakan sebuah universiti teknikal, namun falsafah dan nilai terasnya tetap dipaksikan pertama-tamanya kepada hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta bagi memastikan setiap aktiviti penerokaan ilmu pengetahuan di sini sentiasa selari dengan manfaat kemanusiaan sejagat, nilai murni serta etika.
 
“UMP sedang merangka rancangan untuk mempelbagaikan lagi penawaran kursus-kursus elektif yang bercorak sastera, falsafah dan kemanusiaan kerana kami mahu bakal jurutera dan teknologis di sini bukan sahaja mampu berbicara tentang bahan atau produk kajian mereka di makmal, tetapi turut berupaya mengaitkan faedah kajian itu dengan manfaat kemanusiaan,” katanya. 

Dalam mengukuhkan pendidikan STEM, UMP dengan kerjasama Motorola Solutions Foundation dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDeC) telah menubuhkan UMP STEM Lab. 

Ianya  telah memberi manfaat kepada lebih 2,500 murid dan 200 guru melalui modul Computational Thinking, Arduino Programming, Open-Source Robotics, konsep pengaturcaraan mikro pengawal, sistem automasi robotik dan teknologi internet of things (IoT).
 
Lebih 1,000 peserta dalam kalangan murid-murid sekolah, guru kaunselor, ibu bapa dan industri menyertai kolokium.

Turut berlangsung forum bertajuk `Pendidikan STEM Dalam Era Revolusi Perindustian 4.0’, forum bersama pengetua dan guru besar dengan tajuk 'Peranan Pentadbir sekolah dalam menyokong pekerjaan berasaskan inkuiri bagi pendekatan STEM' dan sesi meja bulat serta pameran berkaitan STEM.


Info Sekitar Kampus

Program empower Community  dekati masyarakat Orang Asli  Kampung Simpai

BIL. 36  JUN 2019

Oleh: MOHAMMAD HAKIMI KAMARUDIN, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Program empower Community 2019 daerah Pekan yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Sekolah Kebangsaan Simpai, Pekan pada 19 Jun 2019 yang lalu memberi semangat dan galakan buat pelajar luar bandar untuk terus mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Program yang melibatkan lebih 50 peserta yang terdiri daripada 24 orang pelajar bersama keluarga masing-masing ini memberi peluang mereka mengikuti program motivasi sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). 

Turut diadakan aktiviti dalam kumpulan menggunakan modul Q-Gen dan senamrobik beramai-ramai.

Program telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Norasda Wali Mohamad dengan dihadiri Pegawai ECER daerah Pekan, Nadiana Roseda Mohd Yusof. 

Turut sama hadir Pengurus Besar Sosioeonomi  dan Projek Khas UMP Advanced, Zainal Bahari, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Simpai, Abdul Malik Sulaiman dan wakil Jabatan Kebajikan Orang Asli (JKOA), Norul Hibriyah Hasnuddin.

BIL. 36  JUN 2019

Menurut Norasda, program kali ini lebih fokus dalam menyuntik kesedaran pelajar mengenai kebolehan masing-masing membentuk sikap untuk meningkatkan kepercayaan diri sendiri selain membentuk minda ibu bapa tentang kebersihan kawasan persekitaran pembelajaran supaya lebih selesa dan selamat.

"Kita percaya tiada pelajar daripada komuniti orang Asli tersisih daripada menerima manfaat yang telah dirangka bagi mencapai potensi sebenar mereka melalui program-program yang holistik,” katanya.

Beliau juga percaya dengan kerjasama rapat semua agensi yang terlibat dan sokongan padu Kerajaan Negeri Pahang, inisiatif ini mampu mentransformasi landskap pendidikan dan sosioekonomi dalam kalangan penerima manfaat ini dalam jangka masa panjang.  

Sementara itu Zainal berkata, program yang dijalankan pihak UMP Advanced bersama-sama ECERDC ini merupakan salah satu program di bawah Special Intervention Programme (SIP) dalam memberi pendedahkan kepada masyarakat orang asli terhadap elemen pendidikan, kesihatan, kebersihan, cabaran teknologi semasa dan pembangunan insan kepada komuniti serta mendekati masyarakat Orang Asli.

Manakala ibu pelajar, Noratikah A/P Tumpel, 41, berkata sebagai ibu bapa pastinya mereka menghargai pihak ECERDC dan UMP dengan pelbagai usaha yang dilakukan bagi membantu masyarakat Orang Asli. 

“Dengan komitmen yang diberikan beliau mengharapkan lebih ramai anak-anak berjaya dalam pembelajaran sehingga dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi setanding dengan masyarakat di Bandar,” katanya.