Skip to main content

Pelajar UMPSA terima sumbangan dari YPM, EKUINAS dan SSM 

PEKAN, 7 Februari 2024 - Seramai sepuluh pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima pembiayaan pendidikan (SDEP) Yayasan Pelajaran MARA (YPM) tajaan Enkuiti Nasional Berhad (EKUINAS) berjumlah RM25,000.

Manakala Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula telah memberi sumbangan kepada 16 orang usahawan siswa UMPSA terpilih dengan jumlah RM 50,000.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Hadir menyerahkan sumbangan ialah Pengarah SSM Negeri Pahang, Kamarudin Mohd Daud dan Pengurus Seksyen Pendidikan Tertiari, YPM, Abdul Shukor Ibrahim. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan terima kasih kepada pihak YPM, EKUINAS dan SSM dengan sumbangan dan sokongan yang diberikan demi pengembangan ilmu mahasiswa universiti ini. 

“UMPSA merupakan salah satu daripada 12 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang menerima manfaat ini pada tahun lepas dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00 bagi membiayai seramai 120 orang pelajar.

“Manakala Wakalah Zakat Korporat SSM pula telah menyerahkan sumbangan bernilai RM250 000.00 kepada lima buah IPTA termasuk UMPSA. 

“16 usahawan siswa yang terpilih menerima sumbangan ini merupakan usahawan bimbingan Pusat pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK) UMPSA,” katanya. 

Beliau berharap agar para pelajar yang menerima suntikan dana ini dapat memberi galakan dan teruskan minat sebagai usahawan di samping menjalankan menjalankan tugas rasmi mereka dengan menuntut ilmu di universiti. 

Salah seorang penerima sumbangan dana yang juga merupakan pelajar Fakulti Komputeran, Nur Aysha Eliya Abdullah Sany mengucapkan terima kasih kepada SSM, YPM, EKUINAS dan UMPSA atas sumbangan ini. 

“Insya-Allah, dengan dana ini akan memberi dorongan kepada saya untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Bendahari/Ketua Pegawai Kewangan, Dato’ Zainudin Othman. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris