Skip to main content

100 Sukarelawan UMP Kilau terus berbakti bersama komuniti Kampung Tammalang

TAMMALANG, THAILAND, 3 Julai 2023 – Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kilau dalam kalangan pelajar dan staf kembali berbakti di bumi Tammalang bagi melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat bersama komuniti dan kesukarelawanan.

UMP mempunyai hubungan erat dengan penduduk di sini yang telah terjalin sejak tahun 2012 lagi yang menjadikan nama UMP cukup sinonim dengan komuniti Kampung Tammalang.  

Namun, apabila dunia berdepan dengan tempoh pandemik COVID-19 yang panjang sejak tiga tahun menyebabkan aktiviti kesukarelawanan ini terpaksa ditangguhkan.

100 Sukarelawan UMP Kilau terus berbakti bersama komuniti Kampung Tammalang

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang bertemakan ‘Merapatkan Budaya, Membina Komuniti’ itu kembali menyantuni komuniti Tammalang dengan penglibatan seramai 100 pelajar dan staf daripada pelbagai latar belakang, jabatan dan fakulti berbeza, bersatu hati berkampung selama dua hari di sini dalam menjalankan aktiviti bersama- sama keluarga angkat masing-masing.
 
Lebih bermakna para sukarelawan UMP Kilau turut menyempurnakan ibadah korban dan akikah dengan menyembelih 15 ekor kambing dan dua ekor lembu hasil sumbangan alumni dan warga UMP serta orang ramai.
 
Turut sama hadir Ahli Lembaga Pengarah UMP, Madyasir Ahmad Basir yang merupakan alumni UMP.

Beliau melahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan semua aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti di sini.

100 Sukarelawan UMP Kilau terus berbakti bersama komuniti Kampung Tammalang

“Apabila mengimbau ke belakang, banyak perubahan yang dapat kita lihat impak daripada kunjungan warga UMP ke sini sejak kunjungan pertama yang lalu. 

"Dari sudut sosioekonomi, penerapan unsur teknologi, bimbingan teknikal dan vokasional sehinggalah kerja-kerja pembaikan yang dibuat telah mengubah demografi penduduk,” katanya yang hadir merasmikan program yang turut dihadiri Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas.
 
Menurut Madyasir, pada kunjungan kali ini, delegasi UMP memfokuskan kepada aktiviti pemasangan lampu solar di jalan sekitar sekolah, pembaikan sekolah agama dengan aktiviti mengecat dan memasang papan tulis (whiteboard), gotong-royong memasak kenduri rakyat serta aktiviti kerohanian seperti aktiviti menyemak bacaan Surah al-Fatihah serta ceramah agama yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMP.
 
“Kami amat menghargai pengorbanan sukarelawan pelajar yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu masyarakat sini walaupun minggu peperiksaan semakin hampir.
 
“Ciri-ciri pengorbanan ini kita ingin terapkan dalam diri sukarelawan Kilau UMP untuk memperkasakan mahasiswa,” ujarnya.

100 Sukarelawan UMP Kilau terus berbakti bersama komuniti Kampung Tammalang

Selain itu katanya, semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa perlu dipupuk sejak awal lagi agar mahasiswa dapat menjiwai dan menghayatinya dengan baik serta kembali semula menabur bakti setelah tamat pengajian kelak.
  
“Di kesempatan ini juga saya mengucapkan sekalung penghargaan kepada RHB Bank, Yayasan Taqwa dan Murs Venture Sdn. Bhd. atas sumbangan dalam menjayakan program kali ini.
 
Turut hadir Timbalan Ketua Daerah Satun, Suthiwut Songsawat dan Ketua Eksekutif Pengurusan Organisasi Tammalang, Mamat Long Kunan.
 
Dalam ucapannya, Suthiwut Songsawat mengucapkan terima kasih kepada pihak UMP yang sudi kembali semula mengadakan program di Kampung Tammalang yang masuk kali ke-7 pada kali ini. 

Baginya, banyak perkembangan yang telah UMP lakukan di kampung ini dan memberi impak yang positif kepada masyarakat kampung.

Pihaknya juga berbangga apabila terdapat juga anak angkat yang masih berhubung dengan keluarga di sini malahan mereka turut menyumbang dalam membantu meringankan beban keluarga angkat mereka di sini.   

Mobiliti Antarabangsa Kembara UMP 21@Kampung Tammalang Thailand merupakan salah satu program Kembara UMP 21 yang dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP bagi memberi pendedahan dan memperkasakan pelajar di samping meningkatkan pembangunan sahsiah diri mereka dalam menyantuni budaya masyarakat dalam dan luar negara.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris