Skip to main content

Program Outreach UMP-KPT santuni ibu tunggal dengan Inovasi Cendawan Nanas

KUANTAN, 30 0ktober 2022 - Projek Inovasi Cendawan Nanas yang diperkenalkan oleh pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor. Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli yang merupakan Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dapat memindahkan teknologi penanaman cendawan nanas menggunakan sisa nanas kepada komuniti sasaran.

Program itu memberi latihan buat ibu tunggal dan keluarga asnaf penanaman cendawan nanas yang boleh menambah ekonomi keluarga dengan penjualan hasil tanaman ini di Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur lman, Kempadang Kuantan.

Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood, program ini merupakan platform universiti dapat mendekati masyarakat dan berkongsi kepakaran yang dimiliki di universiti.

Program Outreach UMP-KPT santuni ibu tunggal dengan Inovasi Cendawan Nanas

“Jika sebelum ini, ilmu, kemahiran dan hasil penyelidikan hanya berada di ruang lingkupnya sahaja, namun dengan program ini para penyelidik universiti  dapat berkongsi hasil penyelidikan atau kemahiran bersama masyarakat.

“Malah, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dan negara turut memerlukan kepakaran dalam bidang Sains dan Teknologi.

“Penganjuran program STEM ini juga adalah untuk menarik minat pelajar menceburi dan memilih bidang ini,” ujarnya yang hadir bertemu peserta dan penghuni di rumah ini.   

Jelas beliau lagi, kini kita dapat lihat pada tahun ini terdapat penurunan pelajar memilih bidang STEM. 

“Di luar negara, kita dapat lihat hasil penyelidikan kebanyakannya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan.

“Justeru, jika tidak diperkukuhkan bidang STEM, kita akan kehilangan penyelidik yang akan membantu ekonomi negara.

“Saya percaya pihak KPT sentiasa memastikan program ini dapat dijalankan dan memberi  manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Program Outreach UMP-KPT santuni ibu tunggal dengan Inovasi Cendawan Nanas

Manakala Pengasas Rumah Kebajikan Anak Yatim dan an Miskin Nur Iman, Ustaz Badrul Huzaini Mohd Yusof pula mengucapkan terima kasih kepada UMP dan KPT.

Ujarnya, pihaknya mengharapkan projek ini dapat dilaksanakan di sini dan ia akan menjadi salah satu daripada sumber pendapatan keluarga yang sentiasa mendapat bantuan di rumah ini.

“Mudah-mudahan dengan kemahiran ini, memberi ruang kepada mereka untuk mencuba inovasi ini dan dapat menambah pendapatan mereka,” katanya.

Bagi peserta program, Rosilawati Ismail, 45 yang merupakan ibu tunggal yang tinggal di Kampung Chempaka ini menganggap ia sebagai ibarat ‘mengantuk disorongkan bantal’.

Ujarnya, beliau telah lama berhasrat untuk mengetahui teknik penanaman cendawan namun tidak mengetahui saluran sebenar.  

Hadir sama Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Normalia Ibrahim, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Norhayati Ali@Nasir dan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Mohd Afiq Zainal Azmi.
Turut serta Pengurus Kanan Pejabat Naib Canselor, Abd. Rahman Haji Safie, Dr. Noorazaliza Sulaiman dan Dr. Mohd Amir Shahlan Mohd Aspar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Lebih 150 orang peserta memeriahkan Program Outreach UMP-KPT sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Rumah Kebajikan  Anak Yatim Dan Miskin Nur Iman.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris