Skip to main content

Sindiran bukan alasan untuk gagal - Heramban 

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Hasrat untuk membuktikan dirinya mampu bersaing dengan pelajar bandar akhirnya membuahkan hasil apabila Heramban a/l Selvam, 23 berjaya meraih kejayaan yang cemerlang ketika mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri selama empat tahun di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).  

Heramban menerima Hadiah Kecemerlangan Anugerah Prihatin Komuniti  berjaya memperoleh  Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78 mampu tersenyum bangga apabila ejekan dan sindiran yang diterimanya satu ketika dahulu kini dibuktikan dengan meraih pencapaian yang cemerlang. 

Sindiran bukan alasan untuk gagal - Heramban 

Beliau yang berasal dari Kampung Air Kuning, Melaka, berkata, sebaik sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau pernah memohon untuk kemasukan ke matrikulasi, namun gagal. Bagaimanapun, beliau tidak patah semangat dan menyambung ke tingkatan enam dengan mengambil aliran sains tulen. 

“Ketika berada di aliran Sains Tulen, saya rasa ia sangat sukar dan hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja.  

 “Di sinilah bermulanya apabila abang mengejek saya kerana tidak mampu untuk belajar tetapi saya tidak pedulikan semua itu, saya teruskan juga dengan menukar kepada aliran Sains Sosial.  

“Bagaimanapun, saya hanya menerima PNGK 3.00 pada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan ia hanya menambahkan sindiran beliau terhadap saya,” ujar anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu. 

Justeru katanya, apabila menerima tawaran ke UMPSA pada tahun 2019, saya nekad untuk mendapatkan Anugerah Dekan pada setiap semester dan syukurlah apabila pernah menerima PNG 4.00 dan paling rendah pula adalah 3.67 ketika kuliah secara dalam talian tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. 

“Bagaimanapun, saya tidak mengambil hati dengan sindiran tersebut kerana tahu niatnya hanya bergurau.  

“Walaupun sering disindir, namun beliau tetap membantu menyediakan keperluan untuk saya belajar dengan menumpangkan tinggal di rumahnya di Klang supaya memudahkan saya ke kelas tambahan. 

“Kejayaan ini juga menggembirakan hati kedua orang tuan saya terutama ketika sedang dilanda kesedihan apabila bapanya, Selvam a/l Kalimuthu, 64,  bekas pesara tentera disahkan menghidapkan kanser tiroid dan sedang menjalani rawatan kimoterapi,” katanya.  

Ujar beliau, ini adalah usaha kecil yang dilakukannya bagi mengggembirakan hati ibu dan ayah.  
“Merekalah yang memberi dorongan kepada saya supaya berjaya dalam pelajaran. 

Sindiran bukan alasan untuk gagal - Heramban 

“Walaupun kita berasal dari luar bandar, tapi bukan bermakna kita tidak boleh berjaya sama seperti pelajar di bandar yang mudah untuk mendapatkan akses pendidikan.  

“Dahulu, saya juga tidak fasih berbahasa Inggeris, namun apabila sudah keluar daripada kepompong dan bergaul dengan lebih ramai orang, saya kini lebih yakin untuk bercakap dalam bahasa itu,” katanya. 

Disediakan oleh : Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA
 

Reports by:
Admin UMP News