Skip to main content

11 tahun berjuang demi segulung ijazah, Juliza kini bergelar graduan

KUANTAN, 18 Mac 2022 - Perjuangan 11 tahun untuk menggenggam segulung ijazah bukan suatu yang mudah dan bergelut pula dengan pelbagai dugaan masalah kesihatan bukan penghalang untuk meraih kejayaan.

Itulah yang dibuktikan oleh graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Juliza Ameruddin, 36 yang hadir ke Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 dalam keadaan bergantung tong gas untuk bantuan pernafasan.

Ujar Juliza, kini penyakit asmanya semakin kronik sehingga menyebabkan beliau sentiasa bergantung dengan tong gas oksigen bagi penafasan.

Beliau mengidap penyakit Brittle Asthma sejak tahun 2007, namun pada tahun 2010 penyakitnya semakin kronik sehingga mengakibatkan beliau diintubasi sebanyak 115 kali di hospital. 

11 tahun berjuang demi segulung ijazah, Juliza kini bergelar graduan

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia), beliau telah mula mendaftar di UMP pada tahun 2009, pada awalnya  sihat, tetapi pada tahun ketiga pengajian keadaan semakin kronik yang mengakibatkan saya lumpuh dan menerima kad OKU (Orang Kurang Upaya).

“Sejak kejadian itu saya kerap menangguhkan pengajian. Semangat untuk belajar tidak pernah padam dan saya amat terharu UMP telah memberi peluang untuk menyambung pengajian setelah menangguh pengajian selama enam tahun kerana masalah kesihatan,” katanya. 

Menurut Juliza yang merupakan anak perempuan sulung daripada lima beradik ini, di sebalik kejayaan yang dikecapi pada hari ini, semestinya sokongan dan dorongan dari orang sekeliling yang banyak membantu terutama pihak UMP, keluarga dan rakan-rakan.  

“Sepanjang pengajian, UMP banyak membantu dari segi kewangan, logistik untuk kelas, memberi peluang ruang peniagaan di dalam kampus dan lain-lain lagi.

“Selain itu juga, pihak fakulti juga banyak membantu sepanjang pengajian saya dengan menyediakan  kelas secara dalam talian.

“Selepas tamat pengajian pada Januari 2021, saya telah ditawarkan berkerja di UMP Holdings sebagai Pembantu Strategik Korporat, namun selepas setahun, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan atas masalah kesihatan dan menumpukan pada bidang perniagaan makanan yang diusahakan,” katanya. 

Beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa membantunya sehingga berjaya.

Anak jati Kuala Lumpur ini turut mengimbas kenangan sewaktu berada di hospital. 

Ujarnya, pernah suatu ketika beliau di hospital dan keadaan sangat kritikal seolah tiada harapan untuk sembuh dan doktor mengatakan keadaan semakin kronik. 

“Namun, berkat kesabaran dan doa semua, Alhamdulillah masih diberi peluang untuk benafas sehingga kini.

“Sumber inspirasi dan kekuatan saya sudah tentulah kedua ibu bapa iaitu Ameruddin Zakaria dan ibu, Nuraini Mat Piah yang telah banyak berkorban dalam membesarkan saya sehingga berjaya,” ujarnya. 

Juliza berharap perjuangannya ini dapat memberikan inspirasi kepada adik-adik di luar sana bahawa sakit bukan halangan untuk kita berjaya. 
 
Manakala menurut ibunya Nuraini, beliau amat bersyukur dan gembira atas kejayaan anaknya pada hari ini. 

“Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong apa jua minat Juliza dan sering menasihati agar kesihatan perlu sentiasa dijaga,” katanya. 

Juliza menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15 bagi sesi ketiga hari ini. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris