Skip to main content

11 tahun berjuang, kini Dr. Abdullah Fairuzullah genggam PhD

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Berbekal doa dan kecekalan hati serta bersabar, Dr. Haji Abdullah Fairuzullah Ahmad Tajuddin dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) berjaya bergelar Doktor Falsafah (PhD) Sains Komputer) setelah berjuang  selama 11 tahun untuk menghabiskan pengajian. 

Menurut Dr. Haji Abdullah, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh sepanjang menyambung pengajian secara sepenuh masa di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Noraziah Ahmad dengan tajuk ‘Binary Vote Assignment Grid Quorum with Load Balancing (BVAGQ-LB) Algorithm for Managing Replication in Distributed Database Systems’.

“Saya pernah mengalami kemurungan selama dua bulan dan tidak mahu berjumpa dengan orang di luar. 

“Namun, alhamdulillah berkat doa dan sokongan ramai insan yang membantu membolehkan saya mendapat kekuatan untuk terus berjuang,” katanya. 

“Selain itu, pengurusan masa yang betul perlu dititikberatkan sepanjang menjadi pelajar di samping mengamalkan pemakanan yang sihat bagi memastikan badan sentiasa bertenaga untuk menguruskan rumah tangga dan mengulangkaji pelajaran.

“Kejayaan yang saya capai hari ini, saya jadikan dorongan dan inspirasi untuk anak-anak saya dan golongan muda yang lain turut sama berusaha serta memotivasikan diri mereka untuk terus belajar dan mencapai apa yang mereka impikan,” ujarnya lagi.

Nasihatnya jangan berseorangan dan sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan. 

Selain doa ayah, Ahmad Tajuddin Mohd Alias dan ibu, Kamariah Hassan, isteri, Noraini Razali  dan anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk beliau terus cekal dan bersemangat. 

Menyoroti kenangan lalu, Dr. Haji Abdullah nyata terharu dengan pengorbanan isteri dan lapan anak-anaknya iaitu Ahmad Syahmi Abdullah Fairuzullah (17 tahun), Ahmad Ibrahim Abdullah Fairuzullah (15 tahun), Fatimah Rajihah  Abdullah Fairuzullah (14 tahun) dan Ahmad Syihabuddin Abdullah Fairuzullah (12 tahun). 

Empat lagi ialah Fatimah Khadijah Abdullah Fairuzullah (11 tahun), Muhammad  Abdullah Fairuzullah (7 tahun), Fatimah Aminah Abdullah Fairuzullah (4 tahun) dan Fatimah Jameelah Abdullah Fairuzullah (sebulan). 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit