Skip to main content

4 beradik jurutera dari UMP

PAYA BESAR, 6 November 2022 – Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, begitulah ungkapan yang dapat digambarkan apabila anak bongsu kepada pasangan Zamani Jamil, 63 dan Nor Maslina Abd Manap, 57 iaitu Afiq Aizzat Zamani, 23 yang menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17. 
 
Terdahulu tiga anak kepada pasangan Penolong Jurutera, Amirul Aizzat Zamani, 33 Amira Farhana Zamani, 32 dan Afiqah Farhana Zamani, 28 menamatkan pengajian dalam Kejuruteraan Awam juga di UMP.
 
Ujar Afiq Aizzat, beliau memilih bidang mekanikal kerana inginkan kelainan daripada adik-beradiknya.
 
“Kecenderungan saya lebih kepada benda yang bergerak atau dinamik sebab sifat ingin tahu di dalam diri saya lebih buat saya tertarik dengan mekanikal.
 
“Minat tentang enjin kereta turut mendorong saya ke arah mekanikal,” katanya. 
 
Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) itu yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Mekanikal di Samsung SDI Malaysia turut menitipkan pesanan buat mahasiswa di luar sana untuk meneruskan usaha sehingga mendapatkan kejayaan yang gemilang.
 
Sementara itu, ibu kepada empat orang anak jurutera ini, Nor Maslina Abd Manap meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan anak anaknya yang lahir dari institusi yang sama.
 
“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh UMP atas kejayaan anak-anak saya hari ini dan masing-masing berjaya dalam kehidupan,” katanya. 
 
Seramai 1,729 graduan menerima pengijazahan yang disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada hari kedua Majlis Konvokesyen UMP yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Universiti.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim