Skip to main content

Aiman graduan OKU genggam ijazah UMPSA

KUANTAN, 21 Oktober 2023 – Kekurangan diri bukanlah penghalang buat graduan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mengggenggam segulung ijazah pada Majlis Komkokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini. 

Muhammad Aiman Hakimi Fadzilah, 26 mengidap penyakit Brain Vessels in Bains AVM sejak beliau melanjutkan pengajian diplomanya di UMPSA lagi. 

Aiman yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam berkata, perjalanan pengajiannya sepanjang di UMPSA banyak melakar kenangan.

“Saya masuk ke UMPSA bermula dengan mengambil diploma, namun pada semester akhir, satu tragedi berlaku ketikan sedang mandi.

“Saya mengalami masalah tidak boleh bergerak sebelah tubuh badan sehingga menyebabkan perlu diadakan pembedahan di bahagian otak. 

“Kejadian tersebut menyebabkan saya mengidap strok dan koma serta terpaksa menangguhkan pengajian selama dua tahun,” katanya. 

Ketika itu katanya, masa yang amat kritikal apabila saya hilang ingatan dan keupayaan. 

Aiman graduan OKU genggam ijazah UMPSA

“Berkat kesabaran kedua ibu bapa dan para pakar perubatan, masalah ingatan saya semakin pulih dan boleh berjalan secara perlahan.

“Kadangkala akan dibantu dengan menggunakan tongkat atau kerusi roda.

“Alhamdulillah, setelah dua tahun menangguh pengajian walapun, saya kembali menyambung pengajian sehingga selesai,” ujarnya. 

Katanya, beliau kemudian membuat keputusan untuk menyambung pengajian dalam ijazah sarjana muda pula.

“Saya bersyukur walaupun kekurangan diri bukanlah penghalang untuk meraih segulung ijazah.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, staf  fakulti dan  sahabat baik saya, Farid Aizudin Sanusi yang banyak membantu dan memberi dorongan sepanjang pengajian. 

“Saya kini saya mempunyai kad OKU dan impian bergelar seorang jurutera terpaksa dilupakan,” katanya.

Tambahnya, namun hal ini tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk sentiasa meningkatkan kemahiran diri dalam bidang yang bersesuaian.

Beliau kini sedang menjalani Kursus Pensijilan Profesional (KPT-Pace) bagi Sijil Pentauliahan CIDB BIM Modeller (Arkitek dan Struktur).

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri