Skip to main content
Graduan pintar teknologi dan ilmu keusahawanan beri nilai tambah

Graduan pintar teknologi dan ilmu keusahawanan beri nilai tambah

KUANTAN, 6 Ogos 2022 - Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) perlu bijak mengambil peluang seiring dengan keperluan semasa dan penglibatan dalam bidang keusahawanan dan kepintaran teknologi bakal memberi nilai tambah kepada graduan.
 
Menurut Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, pengijazahan hanyalah merupakan satu langkah permulaan. 

“Dengan bekalan ilmu yang ada akan mula mencorak kehidupan dan berhadapan dunia sebenar dalam mengaplikasikan ilmu yang dimiliki.
 
“Graduan sewajarnya telah mempunyai perancangan hala tuju kehidupan, sabar dan bijak menangani permasalahan semasa dengan mempromosikan potensi kesarjanaan yang dimiliki. 

Graduan juga perlu mempersiapkan diri menjadi pemimpin yang tangkas dan serba boleh bagi menghadapi cabaran isu-isu global seperti krisis kesihatan, perubahan iklim, ekonomi, geopolitik dan kemiskinan,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-16.
 
Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
 
Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Yuserrie yang berkongsi tentang perkembangan universiti berkata, UMP juga merupakan satu-satunya universiti yang terlibat dalam membekalkan tenaga mahir untuk pembangunan ECRL yang melibatkan bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik melalui kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU).

Graduan pintar teknologi dan ilmu keusahawanan beri nilai tambah

“Seramai 46 orang pelajar bagi pengambilan pertama program ini telah menamatkan pengajian di UMP selama dua tahun dan akan meneruskan pengajian di Beijing Jiaotong University bermula sesi pengajian akan datang selama dua tahun setengah. 

“Mereka akan dilatih menjadi jurutera mahir untuk projek ECRL yang sedang giat berjalan sekarang ini.

“Manakala untuk fasa kedua seramai 32 orang pelajar lagi akan mengikuti pengajian untuk program ini,” ujarnya. 

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas penajaan penuh kepada pelajar-pelajar ini untuk menyertai program ini. 
 
Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 menyaksikan bakal seramai 4,083 penerima graduan bagi tahun 2021 yang terdiri daripada graduan doktor falsafah dan sarjana (280), graduan sarjana muda (2,235) dan diploma (506) serta graduan UMP Advanced (1,062) menerima ijazah dan diploma masing-masing yang berlangsung pada 6 hingga 9 Ogos ini di Dewan Kompleks Sukan Universiti, UMP Kampus Gambang.
 
Daripada jumlah tersebut, seramai 22 orang graduan menerima dua ijazah dalam program Dual Ijazah UMP-HKA hasil kerjasama UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman yang kini memasuki tahun ke-12 dengan memfokuskan bidang Kejuruteraan Automatif dan Kejuruteraan Mekatronik.
 
Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah cemerlangan kepada seramai 942 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran serta 24 anugerah dan hadiah kecemerlangan bersempena Majlis Konvokesyen bermula hari ini (6 Ogos) hingga 9 Ogos depan.
 
Antara penerima anugerah adalah Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga dan Persekitaran) Dengan Kepujian, Farhana Munirah Zainuri dan Ee Hui En yang merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian.
 

Graduan pintar teknologi dan ilmu keusahawanan beri nilai tambah

Penerima Anugerah Canselor Thiew Jih Herng graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Anugerah Pro-Canselor ialah Goh Yi Ling yang merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian, penerima Anugerah Naib Canselor Nor Afifah Abdullah iaitu graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga & Persekitaran) dengan Kepujian dan Anugerah Emas Universiti, Amira Abdul Talib Sarjana Muda Pengurusan Projek Dengan Kepujian graduan Diploma Kejuruteraan Kimia (Loji Proses) iaitu Lee Jia Huey.

Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa juga akan menyampaikan ijazah kepada seramai 837 graduan pada sesi ketiga pada 7 Ogos 2022 (Ahad). 

Manakala Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin untuk sesi keempat melibatkan seramai 808 graduan dan pada 9 Ogos 2022 iaitu sesi kelima melibatkan seramai 842 dan sesi keenam melibatkan seramai 654 graduan.

Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit