Skip to main content
Hussein Al-Faiz raih 2 Anugerah Kecemerlangan

Hussein Al-Faiz raih 2 Anugerah Kecemerlangan

KUANTAN, 6 Ogos 2022 - Minat yang mendalam bidang robotik menghasilkan kejayaan berganda buat Hussein Al-Faiz Mohamed Ahmed Hafez, 26 yang merupakan graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif - Program Kerjasama dengan University of Applied Sciences, Jerman apabila meraih kejayaan dengan memperoleh dua anugerah di Majlis Konvokesyen Ke-16 UMP.

Hussein Al-Faiz meraih Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd. dan Anugerah Verein Deutscher Ingeniure Award Association of German Engineers (VDI).

Menurut Hussein, beliau amat terkejut dan tidak menyangka apabila menerima dua anugerah yang besar daripada UMP.

“Walau bagaimanapun, saya amat bersyukur dengan dengan pengurniaan anugerah ini dan menganggap ia sebagai pendorong untuk terus mengecapi kejayaan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada keluarga tersayang kerana sentiasa memberi semangat untuk menghabiskan pembelajaran saya.

Hussein Al-Faiz raih 2 Anugerah Kecemerlangan

“Tidak dilupakan juga tenaga pengajar UMP dan rakan-rakan yang sentiasa membantu dan memberi kata-kata semangat ketika saya berada dalam keadaan tertekan,” katanya.

Hussein turut berkongsi pengalamannya ketika berada di Jerman ketika mengikuti program kerjasama dengan University of Applied Sciences, Jerman apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Pada waktu itu, universiti ditutup dan kesemua kelas diadakan secara dalam talian.

“Kelas pula dijalankan di dalam bahasa Jerman dan agak sukar untuk memahami apa yang diajar oleh pensyarah tersebut.

“Disebabkan hanya ada peperiksaa akhir sahaja kerana 100 peratus markah adalah dari peperiksaan tersebut dan dalam bahasa Jerman, saya perlu membuat persiapan yang proaktif dan intensif.

“Saya mengulangi semula rakaman video pensyarah Jerman dan membuat terjemahan mengenai apa yang beliau sampaikan di dalam kelas,” katanya.

Selain itu, beliau membuat study group bersama kawan baiknya, Alyxie Anthony dan cuba menjawab soalan peperiksaan tahun-tahun sebelum.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, sepanjang menuntut di UMP, beliau sering memenangi pertandingan robotik antaranya di Pertandingan ROBOCON 2019, UTHM-Fraunhofer Corporate Makeathon 2019 (National Level) dan Top 10 Winners of the SOLIDWORKS Skills Competition 2019 for East Coast Region.

Ujarnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila memenangi tempat pertama dalam pertandingan UTHM-Fraunhofer Corporate Makeathon 2019 (National Level).

Beliau bersama rakan-rakannya bertungkus-lumus menjana idea yang bernas untuk memudahkan pekerja Petronas melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.

Disebabkan pasukan mereka mempunyai kepakaran masing-masing maka idea mereka dapat direalisasikan dengan baik di hadapan juri-juri pada ketika itu.

Menurut anak pasangan Profesor Mohamed Ahmed Hafez dan Sham Awab ini, minat mendalam terhadap robotik bermula dari sekolah rendah apabila sering membina robot ciptaan sendiri dengan menggunakan kotak susu dan pinggan plastik.

“Kemudian guru saya pada ketika itu mengajak saya untuk menyertai pertandingan LEGO Minstorm.

“Bermula dari situlah minat saya semakin membuak-buak untuk meneroka kemahiran dalam bidang robotik,” ujarnya.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu kini sedang memulakan perniagaan bersama rakannya, Harun Dzulquornain Idris menerusi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dengan membekalkan perkhidmatan robotik dan penyelesaian realiti terimbuh (augmented) dan maya di Pekan Pahang melalui GREST Engineering and Consultancy Services.

Ujarnya, memandangkan Harun juga kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana di UMP, pada peringkat awal ini mereka akan memulakan perniagaan di Pekan terlebih dahulu.

Pada masa yang sama, Hussein juga kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang.

Hussein berharap UMP akan meneruskan program dual ijazah atau pertukaran program dan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar-pelajar mereka dengan mendedahkan pembelajaraan di luar negara.

Selain Hussein, anugerah Verein Deutscher Ingeniure Award Association of German Engineers dianugerahkan kepada Ng Jin Yun yang kini sedang melanjutkan pengajian di Jerman.
 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris