Skip to main content

Usia 83 bukan halangan Dr. Jahid dapat PhD kedua

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Rasa tanggungjawab untuk memperkasakan amalan pengubatan Islam menjadi pembakar semangat kepada Tuan Guru Dr. Haji Jahid Sidek untuk menyiapkan tesis ijazah kedoktoran (PhD) kedua di Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Diraikan dalam Majlis  Konvokesyen UMP Ke-17 pada usia 83 tahun, beliau adalah pelajar paling berusia di Malaysia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah kedua yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada sesi pertama.

"Bagi PhD kali kedua ini, saya telah melakukan kajian spesifik tentang satu kaedah rawatan Islam yang dikenali sebagai Refleksologi Spiritual Islam (RSI),” katanya.

“Kajian ini dilakukan bagi merancakkan lagi pembangunan bidang amalan pengubatan Islam yang semakin berkembang di Malaysia.

“Sungguhpun pada  awalnya, sedikit mencabar terutamanya dalam mengumpul data, namun tetap kuatkan semangat untuk terus berusaha seiring  dengan rasa tanggungjawab untuk menyediakan khidmat rawatan Islam yang patuh syariah kepada masyarakat,” ujarnya. 

Dr. Haji Jahid pernah menyandang jawatan sebagai Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).

Beliau meneruskan usaha-usaha dakwah melalui kuliah dan runding cara di pelbagai peringkat sama ada di negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa setelah bersara pada 1995. 

Beliau telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Persatuan Kebajikan BUDI, Tokoh Pemulihan Riqab Negeri Selangor 2010, Pakar Tasawuf JAKIM dan panel Jalsah Turuq Suffiyyah Negeri Sembilan.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit