Skip to main content

Fakta Sejarah: 7 Perjanjian Termeterai di antara British dengan Pemerintah Pahang 1887-1950

Campur tangan British di Tanah Melayu secara rasmi adalah dengan termeterainya perjanjian-perjanjian yang dibuat di antara British dengan Raja-raja Melayu. Melalui Perjanjian Pangkor 1874, berlakulah campur tangan British secara rasmi di negeri Perak dan beberapa perjanjian terus dilakukan oleh British bersama negeri-negeri Melayu yang lain termasuklah negeri Pahang. 

Pahang merupakan salah sebuah negeri yang telah diduduki oleh British sejak tahun 1888. Pertapakan dan pendudukan British di negeri ini adalah melalui perjanjian-perjanjian yang telah dibuat di antara British dengan kerajaan Pahang. Beberapa perjanjian telah dilakukan di antara British dengan Sultan Pahang yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan dan penguasaan British di negeri ini.

Kesultanan atau Raja-raja Melayu adalah satu institusi yang telah ribuan tahun bertapak dalam tamadun Melayu khususnya di Malaysia. Sebelum kedatangan dan penglibatan barat dalam negeri-negeri Melayu, Raja atau Sultan menjadi tonggak pemerintahan dalam negeri masing-masing di Tanah Melayu. Raja-raja Melayu bukan hanya penzahiran adat istiadat semata tetapi mempunyai kuasa tertentu yang tidak boleh dipertikai mana-mana pihak. 

Hakikat sebenarnya sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu merupakan negara-negara yang berdaulat, dimiliki oleh raja sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada raja masing-masing. Di negeri Pahang pada tahun 1888, Sultan Pahang, Sultan Ahmad di dalam keadaan serba salah telah terpaksa menandatangani sepucuk surat meminta British memberi perlindungan ke atas negeri Pahang seperti British memberi perlindungan ke atas negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong. Akibat daripada surat ini, bermulalah campur tangan British di Pahang dan John P. Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris di negeri Pahang.

Secara amnya, British memperkukuhkan penguasaan mereka di negeri-negeri Melayu dengan mengadakan perjanjian dengan pemerintah dan Raja-raja Melayu. Dalam konteks negeri Pahang, pemerintah Pahang juga telah terlibat dengan beberapa perjanjian yang termeterai di antara Sultan dengan kerajaan British sejak tahun 1888 hinggalah 1948. Perjanjian-perjanjian ini telah meninggalkan kesan yang tersendiri terhadap politik, ekonomi dan pembangunan sosial di negeri Pahang semasa pendudukan British di negeri ini. 

1.    Perjanjian Pahang, 1887

Perjanjian ini telah ditandatangani di antara Knight Grand Cross of the Most Distinguished Order of Saint Michael dan Saint George Gabenor Negeri-negeri Selat, Tuan Yang Terutama Sir Frederick Aloysius Weld dengan Yang Teramat Mulia Raja Ahmad Yang di-Pertuan Pahang.  Kedua-dua kerajaan pada setiap masa akan bekerjasama dalam penyelesaian penduduk di wilayah masing-masing dan dalam hal pertahanan bersama wilayah tersebut daripada serangan musuh luar bekerjasama dalam membuat pengaturan bagi memudahkan urusan perdagangan dan perhubungan transit darat melalui negeri Pahang dengan negeri Johor dan negeri jiran yang lain. 

Gabenor Negeri-negeri Selat akan pada setiap masa dengan sedaya upayanya mengambil apa sahaja langkah yang mungkin perlu untuk melindungi kerajaan dan wilayah Pahang daripada sebarang serangan musuh luar. Raja Pahang berjanji pada pihaknya bahawa baginda tidak akan tanpa pengetahuan dan perkenan Kerajaan Seri Paduka Baginda merundingkan apa-apa perjanjian atau memasuki apa-apa penglibatan dengan mana-mana negeri asing atau campur tangan dalam politik atau pentadbiran mana-mana negeri asal atau membuat apa-apa pemberian atau konsesi kepada selain rakyat British, syarikat British, orang Cina, Melayu, bangsa lain, atau mengadakan sebarang kerjasama politik dengan mana-mana negeri asing.  

2.    Perjanjian, 1888

Perjanjian Inggeris dengan Pahang telah ditandatangani pada tahun 1888. Perjanjian ini mengiktiraf Bendahara sebagai Sultan. Pahang menerima Hugh Clifford sebagai wakil British di negeri itu. Hasil daripada perundingan dengan Sultan Johor, Sultan Pahang akhirnya bersetuju dengan pelantikan Residen di negeri Pahang selepas pembunuhan Jo Hui (Go Hui) seorang rakyat British. Seorang Pegawai British telah dihantar oleh kerajaan British untuk membantu dalam hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan negeri seperti yang telah dilakukan di beberapa buah negeri Melayu di bawah Perlindungan British. Tetapi titah baginda ini dengan bersyarat iaitu British tidak boleh mengganggu adat-adat orang Melayu dan semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

3.    Persetiaan Persekutuan, 1895 

Perjanjian di atas telah ditandatangani dan dimeterai pada bulan Julai 1895 di antara Raja-raja Melayu dengan pembesar-pembesar negeri. Perjanjian Gabenor Negeri-negeri Selat yang bertindak bagi pihak Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Maharani India dengan Raja-raja Negeri Melayu yang berikut iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Kesemua negeri Melayu tersebut bersetuju meletakkan diri dan negeri mereka di bawah naungan kerajaan British dan membentuk negeri-negeri mereka dalam sebuah Persekutuan, dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Naungan yang ditadbir di bawah nasihat kerajaan British. Raja-raja yang dinamakan di atas bersetuju untuk menerima seorang Pegawai British, bergelar Residen General sebagai ejen dan wakil kerajaan British di bawah Gabenor Negeri- negeri Selat.

4.    Perjanjian Perlembagaan Majlis Persekutuan, 1909

Perjanjian ini merupakan perjanjian yang dibuat antara Pesuruhjaya Tinggi bagi negeri-negeri Melayu yang bertindak bagi pihak kerajaan baginda Raja, Maharaja India, dan Raja-raja Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan yang telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi pada 20 Oktober 1909.  Bahawa pada dan selepas tarikh yang ditetapkan oleh baginda satu majlis hendaklah ditubuhkan yang dikenali sebagai Majlis Persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Ahli majlis ini terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi, Residen Jeneral, Sultan Perak, Sultan Selangor, Sultan Pahang, rakyat Negeri Sembilan, Yam Tuan Negeri Sembilan, rakyat Perak, rakyat Selangor, dan rakyat Pahang. 

5.    Perjanjian, 1911

Maka dengan ini digubal oleh Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu dalam Majlis Negeri iaitu enakmen yang disebut sebagai ‘Enakmen pengesahan Perjanjian dan Perjanjian 1911’. Ia membawa maksud apa-apa perjanjian yang dinyatakan untuk dimeterai oleh atau bagi pihak raja-raja dan pembesar-pembesar Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ditandatangani dimeterai dan diserahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi baginda bagi Negeri-negeri Melayu atau penggantinya dalam jawatan atau dalam peristiwa ketidakhadirannya dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu atau Tanah Jajahan Negeri-negeri Selat oleh pegawai yang sedang menjalankan tugas-tugas jawatan itu. Ia mengikat seolah-olah perjanjian itu telah ditandatangani dimeterai dan diserahkan oleh raja-raja dan pembesar-pembesar Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan tangan mereka sendiri dan dalam diri mereka sendiri.

6.    Perjanjian, 1912

Perjanjian ini telah dibuat pada 21 Jun 1912 antara kerajaan Yang Mulia Baginda King dan Sultan Pahang, ia adalah berkenaan dengan persetujuan kepada penggubalan Akta Pesalah Pelarian 1881. Dalam hal ini, Sultan Pahang bersetuju dengan kerajaan baginda bahawa ia akan memberi  manfaat dan kebaikan dalam mentadbir hukuman bagi pesalah buruan di bawah peruntukan Akta Pesalah Buruan 1881 dan ini akan terpakai di semua Negeri-ngeri Melayu yang dilindungi, Negeri-negeri Selat dan juga antara negeri-negeri tersebut dengan kerajaan Britain dan Ireland, negeri milik British dan semua tempat di mana pesalah buruan tersebut bertindak akan melalui perintah atau tertakluk kepada akta tersebut dari semasa ke semasa. 

7.    Perjanjian Persekutuan, 1948

Ia telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 di Kuala Lumpur. Antara tujuan penubuhan kerajaan Persekutuan 1948 adalah:

“to create a strong central government in the interests of an economical and effective administration of Malaya as a whole and today we also witness the inauguration of the new Federation of Malaya and the installation of His Excellency as the first High Commissioner of the new Federation consisting of the nine Malay States and the Settlements of Malacca and Penang. The government of a modern state is becoming increasingly complex and uniformity is necessary before any progress can be made in the direction of responsible self-government which has always been the ultimate objective of H.M. Government.” 

Perjanjian ini telah membentuk Perlembagaan dan pemerintahan yang baharu di negeri Pahang. 

“The new constitution will enable the people to take a larger share in the administration of their country and will enable the state to move forward on the path of progress.”

Dalam konteks negeri Pahang, perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Pahang 1948. Berikut merupakan petikan tentang perjanjian tersebut.

“Kami Sultan Abu Bakar Riayatuddin Muaazzam Shah K.C.M.G. Ibni Almarhum Almuktasim Billah Sultan Abdullah Raja Negeri Pahang dan semua tanggungannya, berbesar hati pada hari yang mulia ini untuk memaklumkan kepada rakyat Kami dan kepada semua orang yang bermastautin di negeri Pahang, sedangkan kami telah melaksanakan perjanjian yang kami janjikan. Dibuat dengan Seri Paduka Baginda pada 21 Januari, 1948 (dipanggil Perjanjian Pahang, 1948) untuk mentadbir negeri Pahang kita tertakluk kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan bertulis yang hendaklah selaras dengan perjanjian tersebut dan juga dengan perjanjian selanjutnya yang telah kami buat dengan baginda pada 21 hari bulan Januari 1948 (dipanggil Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948); dan sedangkan kami telah bersetuju dalam Perjanjian Pahang, 1948 bahawa perlembagaan bertulis tersebut hendaklah diberikan dan diisytiharkan oleh kami secepat mungkin. Kita harus memberi kuasa dan melantik dua majlis untuk membantu dan menasihati kita dalam kerajaan negeri Pahang kita, iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan yang akan dipanggil dalam bahasa Inggeris Majlis Negeri.

Penutup

Adalah terbukti, wujud pelbagai perjanjian yang telah dimeterai antara kerajaan British dengan Sultan atau negeri Pahang. Secara keseluruhan, perjanjian-perjanjian ini ditandatangani bagi tujuan-tujuan tertentu. Paling ketara adalah berhubung aspek kuasa seperti penjelasan kuasa politik di atas tangan Sultan namun dengan batas-batas tertentu, bidang kuasa British sebagai kuasa penjajah? (atas nama naungan), kerja sama negeri Pahang dengan kerajaan British, pelantikan pegawai British (terutama residen atas nama penasihat), pengukuhan kuasa British melalui jawatan residen, residen jeneral mahupun Pesuruhjaya Tinggi, agihan kusa, dasar-dasar British (misalnya isu politik yang tidak boleh diambil keputusan tanpa pengetahuan British) juga hal-ehwal penyatuan/persekutuan beberapa negeri Melayu atas tujuan kemudahan dan penyeragaman sistem pentadbiran British.
 
Fakta Sejarah: 7 Perjanjian Termeterai di antara British dengan Pemerintah Pahang 1887-1950

DR. HASNAH HUSSIIN

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

E-mel: hasnah@ump.edu.my  

 
Reports by:
Admin UMP News