Skip to main content

10 staf UMP bakal tunai ibadah haji dirai

PEKAN,1 Jun 2022 - Tidak tergambar kegembiraan pada wajah setiap staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang hadir dalam majlis anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini apabila mereka dipilih menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji selepas tertangguh sejak dua tahun lalu. 

Mereka hadir dalam majlis bagi meraikan kumpulan ini baru-baru ini.
 
Majlis dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dengan diiringi Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal.
 
Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan tahniah kepada staf yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Beliau menasihatkan bakal jemaah agar dapat mematuhi segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh pihak Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tahap kesihatan sentiasa dalam keadaan yang baik.

Selain itu, beliau turut menasihatkan agar semua bakal jemaah haji banyakkan bersabar, bertoleransi dan prihatin tanpa mengira warna kulit, adat resam dan budaya.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi pengalamannya sepanjang menunaikan haji dan umrah.

“Sebagai persiapan diri, para jemaah juga perlu banyak membaca mengenai sejarah Mekah dan Madinah agar dapat melaksanakan ibadah yang lebih penghayatan di tempat-tempat dituju,

“Pihak universiti turut mendoakan agar semua bakal jemaah haji diberikan kekuatan, kesihatan tubuh badan di sepanjang urusan menunaikan ibadah haji serta dapat melaksanakannya dengan sempurna,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Senat, UMP Pekan.

Kumpulan ini terdiri daripada tiga pasangan suami isteri iaitu Dr. Azri Alias dan pasangannya Norshalawati Mat Yusof, Mohd Zahir Salim dan isterinya Ts. Dr. Rohana Abdul Karim serta pasangan Amir Azhar Baharudin dan isterinya Che Noorrainisal Che Noddin.

Lain-lain pensyarah universiti dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Wan Khairul Anuar Wan Abd Manan, Dr. Rozlina Mohamed yang merupakan pensyarah Fakulti Komputeran (FK) dan Norshuhada Muhd Nordin yang merupakan Pegawai Teknologi Maklumat, Jabatan Pengurusan Pengetahuan dan Teknologi Maklumat. 

Turut sama, bakal haji UMP yang termuda pula ialah Atirah Ruzaini, 30 yang merupakan  Pegawai Penerbitan di Penerbit UMP.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris