Skip to main content

100 pelajar UMP terima bantuan komputer riba daripada Kumpulan FGV Holdings Berhad

PEKAN, 15 Februari 2023 - Seramai 100 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima bantuan komputer riba sumbangan Kumpulan FGV Holdings Berhad dengan kerjasama Muslim Care Malaysia sebagai memenuhi tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Modal Insan, Kumpulan FGV Holdings Berhad, Razman Radzi dan Presiden Muslim Care Malaysia, Haji Zulkifli Wahijan hadir menyerahkan replika cek Projek Untukmu Siswa UMP (Bantuan Komputer Riba) berjumlah RM324,900 kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
 

100 pelajar UMP terima bantuan komputer riba daripada Kumpulan FGV Holdings Berhad

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program ini merupakan manifestasi jaringan kerjasama yang mesra lagi erat antara universiti ini khususnya dengan pihak Kumpulan FGV Holdings Berhad dan Muslim Care Malaysia yang dilihat sebagai potensi untuk meneroka kerjasama strategik dari perspektif yang lebih luas dan berimpak tinggi.

“Pelajar menerima sumbangan 100 unit komputer riba terutamanya mahasiswa yang berkeperluan.

“Mereka yang terpilih telah pun menjalani proses saringan dan temu bual oleh pihak fakulti dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan.
 

100 pelajar UMP terima bantuan komputer riba daripada Kumpulan FGV Holdings Berhad

Tambah beliau lagi, UMP sentiasa memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan dan antara inisiatif yang diperkenalkan menerusi Yayasan UMP termasuklah Bantuan Zakat, Bantuan Khairat Kematian Pelajar, Bantuan Musibah, Skim Pelajar Bekerja, Bantuan Awal Pengajian, Insentif Pendidikan, dan lain-lain yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 orang pelajar yang telah menerimanya melalui inisiatif-inisiatif ini sehingga Disember 2022.

Beliau turut mengharapkan agar mahasiswa dapat memanfaatkan bantuan komputer riba dan kemudahan-kemudahan kebajikan bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran sepanjang kehidupan bergelar mahasiswa universiti.

Selain itu, beliau turut menasihati mahasiswa agar terus berkhidmat dan menyumbang jasa kepada negara serta komuniti apabila sudah bergelar graduan kelak.

Sehingga kini, seramai 260 orang pelajar menerima manfaat sumbangan komputer riba termasuklah inisiatif daripada Yayasan UMP dan Yayasan Prihatin.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit