Skip to main content

Bergerak bersama pacu keupayaan teknikal negara

Kuantan, 23 Ogos- Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) harus bergerak bersama dalam meningkatkan keupayaan teknikal negara bagi memperkasa bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) seiring dengan keperluan industri berteknologi tinggi di negara ini.

Hasrat ini disampaikan Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff yang bertemu dengan warga kerja UMP bersempena Majlis Syarahan 100 hari Naib Canselor UMP yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang baru-baru ini.  

Pihak pengurusan universiti telah melaksanakan asas perubahan penstrukturan dengan tiga sebab utama iaitu pertamanya bagi mengembalikan sumber yang berada di dalam UMP ini kepada pendidikan teknikal dengan satu satu profil lain yang mencorakkan pendidikan TVET beraras tinggi.

Keduanya, melahirkan sistem pentadbiran akademik yang bersifat participative leadership dengan berkongsi kuasa antara pemimpin akademik bagi memperkasakan pelan penggantian untuk kesinambungan hala tuju universiti. Peranan Dekan Kanan yang diwujudkan juga bagi membantu Timbalan Naib Canselor menjalankan tanggung jawab selain untuk melahirkan lebih banyak kepimpinan untuk kecemerlangan UMP.

Menurut Prof. Ir Dr Wan Azhar, apabila UMP semakin besar kita perlu berkongsi kuasa kepada empat yang besar iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar bagi membolehkan Naib Canselor merangka dan merancang perkara yang lebih strategik malahan usaha ini juga dapat membina kepimpinan bagi jawatan  tertinggi universiti.

Dalam mengenal pasti risiko integriti yang boleh mengakibatkan ketirisan dalam operasi, semua ahli lembaga pengarah tidak akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam anak syarikat. Selain itu, kesemua anak syarikat universiti selepas ini akan berada di bawah UMP Holdings Sdn. Bhd termasuklah UMP Advanced Education Sdn. Bhd bagi meningkatkan kecekapan organisasi.

“Perkara yang ketiga adalah mengenai pertukaran sistem penyampaian akademik daripada faculty based kepada college based untuk pelaksanaan pendidikan anjal yang sekian lama telah lama diluluskan di peringkat universiti. Sebagai contoh perkongsian program antara fakulti yang mana pelajar boleh mengambil program di fakulti berbeza begitu juga dengan pensyarah serta tenaga pengajar. Malahan lebih banyak program boleh dikongsi bersama antara program kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan,” ujarnya.

Dalam meneruskan agenda ini, pihak universiti juga telah memperkenalkan Kolej Teknologi Kejuruteraan, Kolej Kejuruteraan, Kolej Komputeran dan Sains Gunaan dan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan yang mana kelebihan kolej ini juga mampu mempercepatkan keputusan, terutamanya dalam proses memperakukan keputusan peperiksaan dalam Senat universiti.

Dalam lima tahun akan datang universiti menjangkakan seramai 5000 orang pelajar mengikuti laluan TVET beraras tinggi diikuti dengan bidang teknologi (3000), kejuruteraan (3000), komputeran (2000), pengurusan (2000) serta Matematik dan Sains masing-masing dengan 1000 pelajar dalam kampus bagi tahun semasa. 

“Sebagai universiti teknikal kita perlulah membuka laluan untuk TVET dan mulai pengambilan pelajar sesi akademik 2019/2020, UMP menawarkan dua program teknologi kejuruteraan iaitu Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian selaras dengan tumpuan kejuruteraan automotif dan teknologi kejuruteraan,” katanya.

Menurutnya, program Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan di empat universiti teknikal (MTUN) ini merupakan program artikulasi untuk pelajar lepasan DVM/DKM/DLKM untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran `hands on’ untuk  mengiktiraf kemahiran aliran TVET sebagai agenda memperkasakan TVET aras tinggi.  

Dalam pada itu juga, UMP sepatutnya membuka laluan TVET dengan  mengembangkan program ini di luar kampus termasuklah membuka cawangan di Kuala Lumpur, Terengganu dan di tempat lain untuk menambah kapasiti program ini.

Bercakap berkaitan pendidikan fleksibal, dalam meningkatkan kualiti program pasca siswazah, Pusat Bahasa Moden dan Pusat Matematik perlu memainkan peranan yang penting bagi pelajar pasca siswazah. Ujarnya, tiada universiti teknikal yang hebat di dunia ini yang tidak mempunyai Pusat Matematik. Begitu juga tiada universiti hebat di dunia ini yang tidak memiliki Centre of Writing.

Sistem pentadbiran universiti juga perlu dimodenkan seiring dengan peredaran zaman dan mendepani Revolusi IR4.0 yang mana penggunaan aplikasi dan waktu bekerja anjal (flexi hour) bagi membolehkan produktiviti staf meningkat. Pemodenan pentadbiran  dapat menggerakkan organisasi dan pemantapan dalam teknologi menghasilkan keputusan dibuat lebih cepat dan lebih strategik.

Dalam kerangka merealisasikan Pelan Strategik 2020-2025, Prof Ir Dr Wan Azhar mensasarkan peningkatan terhadap bilangan pelajar antarabangsa, memperbanyakkan program atas talian (MOOC) yang bersifat praktikal, memperkasa pusat kecemerlangan universiti dan memperbanyakkan produk pengkomersialan yang menjadi tempat sebagai teaching factory pelajar di universiti ini.

Beliau mengimpikan suatu hari nanti UMP mempunyai sebuah kumpulan penyelidikan yang menghasilkan produk penyelidikan (fundamental research) dan menjadi universiti pertama yang menghasilkan produk yang tidak pernah dihasilkan pihak lain di persada dunia ini. Beliau yakin sekiranya diberikan masa dan sumber yang mencukupi serta berdasarkan kepakaran didapati kumpulan Material sangat terkehadapan untuk merealisasikan impian ini.  

Mendekatkan universiti dengan masyarakat, penganjuran Program Dialog Pekan 1.0  dan wacana medan intelektual dalam program Siri Bicara Cendekiawan Mulia akan terus dilaksanakan sebagai wadah bersama memanfaatkan masyarakat khususnya di negeri Pahang terutamanya dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi.

UMP terus berperanan sebagai agen transformasi yang melewati parameternya sebagai sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan dengan memperlihatkan peningkatan dalam bidang pendidikan. Universiti turut  menggembleng bakat-bakat yang ada di Universiti ini secara strategik bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan, penghasilan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi dan memacu keupayaan teknikal di negara ini.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri