Skip to main content

Bermula dari CITREX UMP penyelidikan Maryam diiktiraf di persada antarabangsa

KUANTAN, 1 Oktober 2021 – Bagaikan bulan jatuh ke riba, demikian perumpamaan sesuai buat adik Maryam Muzamir, 11, yang merupakan anak kepada pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Ts. Dr. Muzamir Hasan yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila meraih anugerah dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, baru-baru ini.

Kisah kejayaan penyelidik termuda iCAN itu bukan sahaja disiarkan di dada akhbar dan media sosial malah di media antarabangsa. 

Pada masa yang sama, beliau tjuga idak putus-putus menerima ucapan tahniah daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri.  
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Muzamir, seperti kanak -kanak lain juga, Maryam suka bermain lego, menonton animasi dan gemar meneroka ilmu Sains sejak kecil lagi. 

Bermula dari CITREX UMP penyelidikan Maryam diiktiraf di persada antarabangsa

“Seawal usia 4 hingga 5 tahun minatnya dalam bidang Sains mula terserlah. 

“Penyelidikannya bermula dengan mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan Yam 2.0.

“Pada peringkat awal, Maryam menyertai  Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) di UMP pada tahun 2020 dan 2021 dan berjaya memenangi pingat emas,” katanya. 

Malah katanya, Maryam turut meraih pingat emas di International Research Invention and Innovation Exhibition (IRIE) anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini.

“Bermula dari situ, beliau memberanikan diri untuk menyertai ke pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Bagi saya, CITREX UMP juga merupakan salah satu platform terbaik untuk kenal pasti potensi penyelidik cilik untuk mempamerkan hasil penyelidikan mereka sebelum dipertandingkan  ke peringkat seterusnya,” katanya. 

Beliau turut berkongsi tip, setiap anak itu pasti ada kebolehan yang tersendiri.

“Justeru, ibu bapa perlu fahami potensi anak dan sentiasa memberikan dorongan dalam apa jua minat mereka,” katanya. 

Lebih menggembirakan anaknya Maryam apabila menerima panggilan dari istana yang mengatakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

 Kredit Gambar : Istana Pahang
 Kredit Gambar : Istana Pahang 

Sebagai bapa ketika dihubungi pihak istana, pada ketika itu perasaannya berbaur teruja dan terkejut, namun Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. 

Ketika mengadap di istana, baginda amat peramah, mengambil berat dan dekat dengan rakyat. 

Jelas terpancar wajah kegembiraan Maryam ketika dapat bertemu baginda.

 Kredit Gambar : Istana Pahang
 Kredit Gambar : Istana Pahang 

Sebagai bapa beliau turut gembira dengan kejayaan anaknya dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang banyak memberi kata semangat dan dorongan kepada Maryam.

Tidak dilupakan juga kejayaan ini adalah dengan bantuan dari guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang.

Selain itu juga, terdapat juga kementerian dan agensi-agensi yang turut menghubungi untuk membantu dalam pemfailan paten produk dan memberikan geran terhadap usaha penyelidikan ini.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris