Skip to main content

Bilik 24 jam tawar keselesaan pembelajaran sepanjang masa

Bilik 24 Jam di Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan ruang yang paling popular dalam kalangan pelajar UMP. 

Perpustakaan telah memperoleh banyak cadangan agar bilik ini perlu ditambah baik untuk kegunaan pengguna terutama semasa minggu ulang kaji dan musim peperiksaan. 

Selaras dengan itu, Perpustakaan telah berjaya memohon agar ruang terbabit segera dibuat penambahbaikan yang sejajar dengan perkembangan semasa sama ada di Kampus Pekan atau Gambang. 

Ruangan terbaharu di Pekan telah siap ditambah baik pada penghujung tahun 2019. Ruangan ini juga digarap sepenuhnya agar memberikan keselesaan pada aktiviti pembelajaran. 

Pembesaran Bilik 24 Jam dahulunya yang boleh memuatkan seramai 30 orang pengguna kini dapat melonjak kepada 162 orang pada satu masa. 

Penambahan ini juga telah diterjemahkan dengan pilihan perabot khas dan pertambahan meja dan kerusi bacaan.

Bagi memberikan suasana pembelajaran yang senyap dan kondusif, permaidani turut dipasang pada seluruh bilik tersebut.  

Bagi pengguna perseorangan, kemudahan karel juga disediakan. Melengkapi kemudahan yang ada, tambahan soket elektrik juga diperbanyakkan dengan nisbah seorang pengguna dengan satu soket elektrik. 

Bilik 24 Jam juga menyediakan ruang kafe ringan. Para pelajar boleh menelaah sambil menikmati minuman kegemaran mereka.

Selain itu, Perpustakaan juga dalam proses menyediakan ruang untuk kios perniagaan dari kalangan pelajar UMP. 

Ia secara tidak langsung dapat memupuk aktiviti penjanaan dan keusahawan di kalangan pelajar.

Selain itu, bagi menambah nilai Bilik 24 Jam, bilik ini dilengkapi dengan dinding separa kaca yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai papan putih. 

Pelajar kini bebas untuk melakar diagram atau formula di dinding kaca berkenaan bagi membantu proses pembelajaran mereka. 

Apabila pelajar ingin berehat, sofa juga disediakan secukupnya untuk berehat sebentar sambil mengecas minda. Mereka juga boleh belajar atau berdiskusi secara lebih santai.

Bilik ini beroperasi 24 jam untuk kepentingan pelajar menelaah dan juga beraktiviti. 

Bilik ini dilengkapi dengan kemudahan wifi untuk melayari internet dan juga koleksi bahan digital Perpustakaan UMP. 

Selain itu, pelajar juga boleh menikmati sistem lampu dan penghawa dingin kendiri yang membolehkan pelajar mengoperasikan kawalan suis lampu dan penghawa dingin berdasarkan kawasan yang mereka duduki.

Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pelajar, sistem keselamatan CCTV disediakan di bilik ini. 

Selain itu juga, pemantauan dan rondaaan berkala dari pihak Keselamatan UMP ke Bilik 24 Jam akan dapat menjamin keselamatan para pelajar. 

Pemandangan mengadap tasik dari ruang ini juga amat mendamaikan.

Semoga kemudahan yang disediakan oleh Perpustakaan UMP ini dapat dimanfaatkan kegunaannya dan mampu memberikan ruang kepada pelajar untuk beraktiviti agar mampu menghasilkan kualiti pengguna yang terbaik.

Disediakan Oleh: Iswan Akim Ismail, Perpustakaan UMP
 

Reports by:
Admin UMP News