Skip to main content

Delima KPM dan penghasilan video pengajaran beri impak terhadap PdPR berkesan

KUANTAN, 29 Jun 2021 – Digital Educational Learning Initiative Malaysia (Delima) yang merupakan platform MOE Digital Learning yang dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mampu menyediakan perkhidmatan sistem pengurusan pembelajaran dan sumber-sumber pembelajaran yang boleh digunakan oleh para pendidik serta pelajar untuk belajar secara dalam talian.
 
Ia juga merupakan solusi bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berkualiti terutamanya di kawasan luar bandar. 

Guru perlu lebih kreatif dengan meneroka dan mengubah suai PdPR agar murid mudah faham serta pelajaran mereka tidak terjejas.
 
Dalam pada itu, penghasilan video pengajaran yang berkualiti juga mampu untuk menarik minat pelajar dengan menggunakan bahan dalam kos yang rendah dan berpatutan yang boleh diperoleh di Shopee, Lazada ataupun pasar raya. 

Apa yang penting, para guru atau tenaga pengajar dinasihatkan untuk menghasilkan green screen menggunakan impra board dan pencahayaan serta meningkatkan kemahiran dalam suntingan video menggunakan pelbagai aplikasi secara percuma.
 
Perkongsian tersebut dikongsi oleh dua panelis jemputan iaitu Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd Hazwan Yusof dan Penolong Kanan, Hal Ehwal Murid, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sharin Hanum Ab Rahman dalam program Forum Webinar Cabaran dan Solusi PDPR di Luar Bandar: Tip Praktikal Penyediaan Bahan Pengajaran dan Penilaian Berkualiti yang menampilkan pelbagai kaedah kreatif dan menarik dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).  
 
Program anjuran bersama  Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Graduan UMP dengan Pejabat Pendidikan Daerah Bera dan Kelab Fasilitator Komuniti Daerah Bera itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
 
Hadir sama  Naib Canselor, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar  Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Penolong Naib Canselor (Jabatan Pembangunan Graduan), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina  Noordin dan Pengarah, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani.
 
Menurut Dato’ Sri Norolazali, pelaksanaan PdPR sewaktu tempoh pandemik COVID-19 ketika ini, boleh dijadikan model dalam mewujudkan amalan pendidikan yang lebih fleksibel. 

“Walaupun dibuat dalam keadaan terpaksa bagi menggantikan kaedah pembelajaran bersemuka untuk membendung penularan wabak Covid-19, apa yang dilaksanakan boleh dijadikan panduan atau diperbaiki bagi mencari kaedah PdPR yang lebih baik pada masa hadapan, selaras dengan teknologi komunikasi masa kini.
 
“Antara isu yang sering dihadapi oleh para guru dalam pelaksanaan PdPR adalah kekurangan akses internet di kawasan-kawasan tertentu termasuklah di kawasan pedalaman iaitu bukan semua pelajar mempunyai akses yang baik.  

“Malah, terdapat juga masalah guru-guru yang mempunyai literasi teknologi maklumat yang rendah menyebabkan mereka kurang keyakinan menggunakan teknologi,” katanya.
 
“Masalah ini dapat diatasi dengan memperkasakan internet desa atau internet komuniti untuk kawasan pedalaman yang menghadapi masalah kekurangan akses oleh para pelajar, guru-guru mahupun ibu bapa,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar kandungan pembelajaran digital perlu diperluaskan dan juga kemudahan peranti seperti telefon pintar serta komputer riba yang bersesuaian boleh difikirkan oleh pihak kerajaan, NGO dan pembekal. 

Selain itu katanya, di saat-saat sukar ini, semua pihak perlu bekerjasama menyelesaikan masalah PdPR.
 
“Pada masa yang sama, motivasi juga harus diberikan bagi memupuk sikap yang positif dan perlu dikekalkan untuk mengelakkan stres yang berlebihan serta keletihan mental kepada semua pihak. 

“Apa yang penting, semua pihak perlu menyokong PdPR yang berkesan mengikut kemampuan masing-masing.
 
“Kerjasama dan sokongan semua pihak amat diperlukan bagi meningkatkan kemampuan literasi teknologi maklumat menerusi pangkalan digital media pembelajaran yang seragam dalam memastikan guru-guru dapat menjalankan tanggungjawab mendidik dengan berkesan serta pelajar boleh mencapai akses ilmu tanpa halangan dalam situasi pandemik ini,” ujarnya. 
 
Dalam pada itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan menjayakan program ini sebagai rakan kerjasama  bagi membantu para guru sekolah terutama di daerah Bera bagi menghasilkan bahan PdPR yang berkualiti.
 
Ujarnya, inisiatif webinar ini bermula susulan daripada Program Sesi Libat Sama UMP bersama Komuniti Daerah Bera yang diadakan pada tahun lalu yang membincangkan agenda memasyarakatkan universiti dengan mewujudkan sinergi antara universiti bersama komuniti setempat dan industri ke arah pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negeri.
 
“Sebagai sebuah universiti yang berfokuskan Kejuruteraan dan Teknologi, UMP mengetengahkan inovasi, penemuan baharu dan idea supaya ia boleh dimanfaatkan oleh komuniti selaras dengan slogan UMP iaitu Teknologi untuk Masyarakat.
 
Program yang disiarkan secara langsung di Facebook Pusat Jaringan Industri & Masyarakat -IcoN UMP itu disertai hampir 400 penonton yang terdiri daripada para pendidik dan masyarakat  dari seluruh Malaysia.  

Ia dikendalikan oleh Eksekutif Kanan, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Graduan UMP, Halizan Mahmood yang bertindak sebagai moderator.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris