Skip to main content

Kerjasama UMP, YIM manfaatkan Ruang Reka STIE buat komuniti Bera

BERA, 15 Oktober 2022 - Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Felda Bukit Puchong, Bera yang merupakan sudut inovasi digital yang dilengkapi dengan makmal komputer, studio digital, sudut pameran dron dan reka bentuk bagi membudayakan kreativiti serta inovasi dalam kalangan komuniti luar bandar khususnya pelajar sekolah dan generasi baharu.

Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Sehingga kini, terdapat tujuh buah Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia yang terdapat di Malaysia iaitu di Paroi, Negeri Sembilan; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Tinggi dan Layang-Layang, Johor; Tumpat, Kelantan; Langkawi, Kedah; dan kini di Bera, Pahang.

Kerjasama UMP, YIM manfaatkan Ruang Reka STIE buat komuniti Bera

Menurut Dato’ Sri Ismail Sabri, pemulihan tahun 2022 bukan sahaja berkenaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga melibatkan pembangunan terangkum termasuk inovasi sosial bagi merangsang pasaran sosial lebih dinamik, inklusif dan mampan.

“Inovasi sosial ini dapat dipupuk menggunakan pendekatan berbeza, seperti dengan adanya program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia.

“Ia berpotensi membawa perubahan besar dalam mencipta peluang pekerjaan melalui pasaran baharu yang dibangunkan daripada idea inovator akar umbi,” ujarnya.

Turut berlangsung sesi penyerahan surat hasrat kerjasama pengendalian Modul Latihan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di antara Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang mewakili UMP dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
 

Kerjasama UMP, YIM manfaatkan Ruang Reka STIE buat komuniti Bera

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMP bakal menyelaras program bagi memberi pendedahan dan latihan kemahiran kepada para peserta tentang penggunaan teknologi baharu seperti pencetak tiga dimensi (3D), dron, robotik dan reka bentuk digital dengan memberi peluang mereka bentuk poster dan video di Bilik Studio Digital ini.

“Sudut Makmal Komputer berfungsi memberi pendedahan kepada pelajar mempelajari asas elektrik dan elektronik dengan menggunakan blok elektronik interaktif dan membina litar ringkas pelbagai aplikasi.

“Sudut Makmal Reka Bentuk pula memberi pendedahan kepada pelajar menggunakan perisian dalam menghasilkan komponen, menggunakan mesin 3D bagi cetakan komponen, dan menghasilkan model 3D dalam persekitaran sebenar.
 

Kerjasama UMP, YIM manfaatkan Ruang Reka STIE buat komuniti Bera

“Manakala Sudut Pameran Dron pula memberi kemahiran pelajar mengendali dron bagi tujuan fotografi.

“Antaranya termasuklah mempelajari asas pergerakan dron, pengendalian dron dan teknik mengambil gambar dan video menggunakan dron serta penyuntingan foto dan video bagi tujuan penghasilan media grafik untuk paparan dan cetakan,” katanya.

Sementara itu, Bilik Studio Digital turut memberi peluang untuk mereka bentuk poster dan video

Kerjasama UMP, YIM manfaatkan Ruang Reka STIE buat komuniti Bera

 

Bersempena dengan program ini juga, seramai 15 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mendi bersama guru mengikuti latihan dengan menggunakan fasiliti di Ruang Reka ini di bawah bimbingan tenaga pengajar UMP.

Turut sama hadir ialah pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dr. Abdul Nasir Abd Ghafar, Ketua Kluster (Perundingan dan Khidmat Teknikal), Pusat Reka Bentuk dan Teknologi (PRInT), Mohamad Azlan Mat Hussin, Pereka Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (PSPe), Nursurainie Mohamed Shateri, Pereka Pejabat Naib Canselor, Noor Azhar Abdul Rasid dan lain-lain.
 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit