Skip to main content

Kolaborasi UMP, MARA perintis Projek Gelatin Halal Dalam Negara

Kuala Lumpur, 30 September 2020 - Projek gelatin halal pertama negara bakal bermula di negeri Pahang tidak lama lagi apabila Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima baki geran sebanyak lima juta ringgit hasil projek kerjasama dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20 juta yang disalurkan secara berperingkat dalam bentuk geran.
 
Hadir dalam majlis serahan adalah Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zahari Aziz dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. 

Turut hadir Pengarah Urusan, UMP Green Technology Sdn. Bhd., Profesor Dato' Ts. Dr. Rosli Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat BCA International Sdn. Bhd., Mohd Hairon Nizam Abu Hashim dan Dekan Pengkomersialan UMP, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron.
 
Penubuhan Pusat Inkubator Pengeluaran Gelatin Halal di tapak yang berkeluasan 4.45 ekar di Industrial Technology Engineering Creativity Space (ITECS), UMP Pekan dijangka mampu mengeluarkan 360 tan metrik gelatin halal setahun.

Pengeluaran ini dapat menyumbang kepada keperluan gelatin halal sedunia yang mencecah hampir 90,000 tan setahun.
 
Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, UMP telah melantik UMP Green Technology Sdn. Bhd., syarikat spin off UMP sebagai pengurus dan pelaksana bagi projek ini. 

“Gelatin semakin mendapat permintaan apabila ia digunakan secara meluas dalam pelbagai industri seperti industri makanan, minuman, fotografi, farmaseutikal, dan kosmetik. 

“Ia juga akan mewujudkan spillover effects yang akan menarik lebih ramai usahawan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan alumni universiti serta menyediakan kemudahan latihan industri. 
 
“Dengan kepakaran penyelidikan saintifik, penerokaan projek ini bakal mewujudkan industri baharu dalam prospek pengembangan industri gelatin halal dalam negara ini.

“Universiti akan memainkan peranan yang lebih besar terutamanya dalam pengeluaran gelatin halal menerusi perkongsian kepakaran, pembangunan penyelidikan, latihan, dan jaringan perniagaan,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Pejabat MARA Kuala Lumpur baru-baru ini.   
 
Bagi Profesor Dato' Ts. Dr. Rosli, pihaknya mendapat kerjasama dengan Syarikat BCA International Sdn. Bhd. yang mencukupkan peruntukan bagi merealisasikan projek ini. 

“Kewujudan inkubator gelatin halal di dalam kampus memberikan peluang besar kepada penyelidik bagi menjalankan latihan untuk tenaga pengajar dan pelajar UMP. 

“Ini kerana, kemudahan akses dalam kampus membolehkan mereka melakukan penyelidikan dan pembangunan produk. 

“Selain itu, universiti turut mendapat manfaat daripada kepakaran syarikat dalam industri halal, khususnya dalam bidang pengetahuan teknikal, pengoptimuman proses dan pembangunan sumber manusia,” katanya. 
 
Jelas beliau lagi, memandangkan industri pengeluaran gelatin amat bergantung kepada sumber haiwan, UMP memerlukan bantuan kepakaran dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Jabatan ini bertindak sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab memastikan aras pematuhan dan integriti produksi yang tinggi selaras dengan undang-undang dan prosedur operasi standard. 

“Selain itu, kerjasama ini memperlihatkan sokongan pihak berkepentingan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam mewujudkan kemudahan pembuatan gelatin halal pertama,” ujar beliau. 
 
Bagi Mohd Hairon Nizam, hasil kunjungan pihaknya ke China mendapati UMP juga mempunyai kepakaran yang sama. 

“Bermula dengan inkubator gelatin halal di ITECS UMP Pekan dengan kapasiti pengeluaran 360 tan setahun, bersama UMP Green Technology, seterusnya BCA International bakal membangunkan kilang gelatin halal dengan kapasiti 3,000 metrik tan setahun bagi memenuhi permintaan dalam dan luar negara. 

“Beberapa lokasi sedang dikenal pasti bagi pembangunan Hab Gelatin Halal ini termasuklah di luar negeri Pahang,” katanya. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit