Skip to main content

Kolaborasi UMPSA dan UMW tanam 2,000 pokok Bakau di Cherating

CHERATING, 25 November 2023 – Kolaborasi antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan UMW menanam 2,000 pokok Bakau di Cherating baru-baru ini adalah dengan sasaran untuk menanam sebanyak 300,000 pokok bakau menjelang tahun 2023.

Ia adalah sebagai sebahagian daripada Inisiatif Pucuk Hijau (UGS) UMW.

Program itu melibatkan lebih 200 sukarelawan Kilau UMPSA yang terdiri daripada pelajar serta staf UMPSA dan UMW dari Kuantan. 

Program siri tiga ini juga merupakan kesinambungan aktiviti penanaman pokok bakau di Cherating, Kuantan dengan kerjasama UMW Toyota Motor dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, Inisiatif Pucuk Hijau UMW merupakan satu usaha di bawah kumpulan untuk menangani isu pelepasan gas rumah hijau (GHG).  

Kolaborasi UMPSA dan UMW tanam 2,000 pokok Bakau di Cherating

Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar menzahirkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan UMW kepada UMPSA bagi tiga siri penanaman pokok bakau ini. 

“Program ini melambangkan perpaduan di antara UMPSA dengan UMW dalam bersama-sama bekerjasama menyumbang kepada pembangunan mampan dan melindungi keindahan alam sekitar. 

“Malah, ia dapat meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup. 

“Sudah pastinya ia akan memberi pengalaman baharu kepada pelajar UMPSA dan menghargai serta menjaga alam sekitar,” katanya.

Inisiatif ini juga turut mengukuhkan komitmen kumpulan ke arah melestarikan alam sekitar dan menyokong misi kerajaan Malaysia untuk mencapai 100 peratus neutral karbon menjelang tahun 2050 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang juga merupakan ikrar Kumpulan UMW di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian UMW.

Pokok bakau sangat penting untuk ekosistem kerana ia dapat melindungi pantai daripada hakisan, ribut, ancaman perubahan iklim dan membantu pembiakan hidupan marin. 

Kolaborasi UMPSA dan UMW tanam 2,000 pokok Bakau di Cherating

Ia juga mampu menyerap karbon atmosfera lebih daripada lima kali ganda sehektar berbanding hutan tropika.

UMPSA menjalankan program-program yang mengutamakan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) yang menjadi agenda global. SDG terdiri daripada 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua negara menjelang tahun 2030 seperti yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Disediakan oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Yayasan UMP

Reports by:
Admin UMP News