Skip to main content

Kumpulan UMP Holdings perkenal logo dan identiti jenama baharu

KUANTAN, 23 Oktober 2021 - Kumpulan UMP Holdings memperkenal logo baharu yang lebih moden untuk menjadi sebuah syarikat universiti yang terus maju dalam perniagaan dan kekal berdaya saing dalam pasaran Malaysia seterusnya bakal menembusi pasaran dunia.

Identiti korporat syarikat dalam Kumpulan UMP Holdings yang baharu diketengahkan itu menyaksikan pengenalan yang lebih moden, sekali gus melambangkan imej organisasi itu yang berpandangan jauh dan lebih progresif.

Bertepatan dengan usaha UMP Holdings dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menjadi peneraju dalam industri masing-masing, ia dilihat dapat melestarikan pertumbuhan ekonomi yang mampan sekali gus dapat merencanakan lebih banyak kerjasama bersama pihak lain.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, walaupun hampir dua tahun kita semua diselubungi kesan akibat COVID-19, pihaknya yakin UMP Holdings akan terus kekal komited dalam memastikan perniagaan sentiasa menjana keuntungan.

“Saya juga sentiasa dimaklumkan berkenaan usaha mereka dengan pengenalan Crisis Mitigation Plan yang membawa kepada perkemasan tadbir urus dan penekanan terhadap konsep ESG (environmental, social and governance) dalam kerja seharian,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Logo terbaharu Kumpulan UMP Holdings dengan tema ‘Satu Lentera, Seribu Cahaya’.

Katanya, jenama memainkan peranan penting dalam pasaran yang sangat kompetitif ini, justeru pelan jangka panjang baharu perlu dicipta agar dapat meningkatkan tahap relevan dan daya saing kepada pelanggan.

“Konsep ini akan membantu syarikat mencapai kelestarian (sustainability) dan penghargaan (recognition) daripada pihak luar untuk satu jangka masa yang panjang.

“Hasrat ini juga terus diperkemas dengan pengenalan penyatuan imej korporat dan logo Kumpulan UMP Holdings yang menumpukan kepada strategi ‘Penyatuan’ dan ‘Kekuatan’ setiap cabang perniagaan yang ada di bawah kumpulan.

Hasil perancangan pelan ini dijangka akan menjadi nadi dalam membawa Kumpulan UMP Holdings lebih utuh dalam perancangan hala tuju perniagaannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMP Holdings, Ir. Dr. Syed Mohamad Hamzah Al Junid, pihaknya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama menjayakan Majlis Perasmian Logo Baharu Kumpulan UMP Holdings sebagai ‘Satu Permulaan Baharu’ pada hari ini.

Bagi menjayakan usaha keras dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi antara seluruh warga kerja UMP Holdings dan universiti, pihaknya telah terpanggil untuk memperkenalkan imej korporat terbaharu, selaras dengan dasar penyatuan (unity) dan sekali gus terus menjana sumber pendapatan lebih untuk universiti. 

Kumpulan UMP Holdings terdiri daripada UMP Services Sdn. Bhd., UMP Technology Sdn. Bhd., UCT Solutions Sdn. Bhd., Imani Agro Industries Sdn. Bhd., UMP Energy Sdn. Bhd dan UMP Entrepreneur Sdn. Bhd. 

Selain itu, Kumpulan UMP Holdings turut mempunyai lima buah syarikat spin-off di dalam kumpulan iaitu UMP Green Technology Sdn. Bhd., UMP Keraglow Sdn. Bhd., UMP Renal Care Sdn. Bhd., UMP Ecopest Sdn. Bhd. dan Synbion Sdn. Bhd.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit