Skip to main content

Membudayakan penyelidikan untuk manfaat masyarakat

PEKAN, 4 Oktober 2022 – Dalam meningkatkan keternampakan peranan universiti, Universiti Malaysia Pahang (UMP) perlu memajukan penyelidikan dan memanfaatkan kekuatan dalam bidang intelektual untuk memberi kesan kepada komuniti, teknologi, ekonomi dan masyarakat.

Ini selaras hasrat UMP dalam mengangkat agenda ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang menjalankan penyelidikan dan hasilnya adalah jawapan kepada pelbagai masalah dihadapi masyarakat kini. 

Malahan penyelidikan yang dijalankan mampu menghasilkan impak tinggi kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, budaya penyelidikan terbaik dunia seperti di Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di United Kingdom serta Universiti Harvard dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat, antara faktor institusi berkenaan menjadi tempat menarik dan produktif untuk menjalankan penyelidikan.

Membudayakan penyelidikan untuk manfaat masyarakat

“Jika kita mahukan output dan melalui proses penyelidikan yang baik, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memerlukan budaya penyelidikan positif yang menyokong semua penyelidik.

“Untuk itu, UMP berjaya mengumpulkan seramai 457 pakar dalam pelbagai bidang yang akan membantu negara khususnya Negeri Pahang sama ada dalam bidang kelestarian mahupun apa jua bidang. 

“Terdapat 11 bidang kluster kepakaran UMP termasuk Kampus Pintar (Smart Campus), Tenaga Lestari (Sustainable Energy), Vehicular Technology, Sains Bahan (Material Science), Bioteknologi Industri (Industrial Biotechnology), Fine and Specialty Chemical, Pengurusan dan Sains Sosial (Management and Social Science), Perladangan (Agriculture) dan Keselamatan Makanan (food security), Nadir Bumi (Rare Earth), Petrokimia (Petrochemical) dan Pembinaan (Construction),” ujarnya. 
 
Tambahnya, UMP kini terus mempergiatkan agenda dalam pembangunan kelestarian bagi menyokong Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG).

Membudayakan penyelidikan untuk manfaat masyarakat

 
“Usaha ini bukan sekadar menjaga alam sekitar malah kesihatan komuniti dan pertumbuhan ekonomi menyeluruh serta komitmen UMP dalam SDG ini dapat dilihat dari pembangunan kampus lestari UMP dan pencapaian UMP dalam perlaksanaan pelbagai inisiatif seperti penarafan UI GreenMetric World University Ranking dan THE Impact Rankings,” katanya. 

Beliau hadir  menyampaikan ucaptama di Majlis Wacana Pembudayaan Penyelidikan dan Inovasi bertempat di Dewan Serbaguna, UMP Pekan baru-baru ini. 

Mengenai pencapaian terkini UMP, menerusi penarafan UI GreenMetric World University Ranking, UMP telah meraih tempat ke-7 terbaik di Malaysia dan kedudukan ke-128 peringkat dunia.
 
Manakala bagi pencapaian THE Impact Rankings pada tahun 2022, UMP pada kedudukan 301 hingga 400 terbaik dunia.

Pada peringkat Malaysia pula, UMP berada di tempat ke-8 dan merupakan tempat pertama dalam kalangan universiti MTUN.
 
Beliau mengharapkan pencapaian penarafan ini akan terus meningkat pada masa akan datang.
 
Ujarnya lagi, kini dunia yang begitu rancak dengan Revolusi Industri 4.0 memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring dengan pembangunan pesat dalam berteknologi dan penyelidikan.
 
“Justeru para penyelidik perlu kreatif dalam penghasilan penyelidikan yang menyasarkan kehendak pasaran, industri dan ianya mematuhi kehendak SDG.
 

Membudayakan penyelidikan untuk manfaat masyarakat

“Saya percaya, jika ia menepati perkara ini, produk-produk penyelidikan UMP akan dapat dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya. 
 
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi inisiatif yang sedang dijalankan di UMP untuk mengurangkan karbon dioksida menerusi teknologi solar, kereta elektrik (EV), skuter elektronik dan parker kenderaan secara berpusat.

Dijangkakan apabila pelaksanaan inisiatif ini dijalankan, ia dapat mengurangkan jumlah pengurangan karbon sebanyak 6,708 Tan karbon dioksida (48 peratus) di UMP.

Selain itu, dari segi penjimatan  turut perlu dititikberatkan, terutamanya sumber air menerusi aktiviti tadahan air hujan untuk tujuan digunakan semula untuk aktiviti penyiraman pokok dan sebagainya. 

Program itu turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie  Zainuddin, wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Nor Shahirah Mohd Hadzir, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengurusan tertinggi dan lebih 500 staf UMP.

Program anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi ini turut mempamerkan lebih 20 produk penyelidikan dan inovasi UMP. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris