Skip to main content
Pelajar UMP teruskan pengajian dalam talian tangguh masuk kampus

Pelajar UMP teruskan pengajian dalam talian tangguh masuk kampus

Pekan, 5 Oktober 2020 - Prihatin dengan situasi semasa terhadap peningkatan  kes positif COVID-19 di negara ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengumumkan penangguhan semua pelajar baharu dan pelajar kanan yang dijadualkan akan mendaftar di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Gambang mulai Oktober ini.  

Keputusan ini dibuat dengan merujuk kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertarikh 2 Oktober 2020 mengenai Penangguhan Pendaftaran Secara Fizikal atau Bersemuka Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kemasukan Oktober 2020 baru-baru ini.

Bagi pelajar baharu, mereka tidak perlu hadir secara fizikal atau bersemuka malahan mereka perlu membuat pendaftaran secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober 2020 mengikut tatacara pendaftaran yang dimaklumkan melalui laman sesawang rasmi UMP.

Mereka akan mengikuti pelaksanaan Minggu Induksi Siswa (MINDS) mengikut jadual secara dalam talian dan tarikh kehadiran fizikal ke kampus akan dimaklumkan mengikut perkembangan situasi semasa.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, semua pelajar kanan yang belum kembali ke kampus juga hendaklah menangguhkan dahulu kepulangan mereka sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Manakala pelajar yang telah berada di kampus dinasihatkan untuk terus kekal di kampus dan mematuhi sepenuhnya Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan dengan mengutamakan langkah-langkah keselamatan.

“Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara dalam talian dan bagi pelajar yang mempunyai masalah capaian internet hendaklah berhubung serta berbincang dengan dekan atau pensyarah kursus masing-masing,” katanya.

Jelas beliau lagi, lanjutan daripada Senat UMP (Khas) yang bersidang pada 4 Oktober 2020 telah membuat keputusan Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 2) dan Semester Pendek, Sesi Akademik 2019/2020 dilaksanakan secara dalam talian.

“Pelaksanaan peperiksaan akhir secara dalam talian akan dikendalikan oleh pensyarah yang mengajar kursus berkenaan melalui platform KALAM atau platform dalam talian yang difikirkan sesuai oleh pensyarah.

“Manakala tempoh pelaksanaan Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 2) dipinda daripada 5 hingga 16 Oktober 2020 kepada 7 hingga 16 Oktober 2020.

“Bagi kursus yang dijadualkan peperiksaan pada 5 Oktober 2020, peperiksaan ditunda kepada 10 Oktober 2020 (Sabtu) dan bagi kursus yang dijadualkan peperiksaan pada 6 Oktober 2020, peperiksaan ditunda kepada 11 Oktober 2020 (Ahad).,” katanya.

Sementara itu, bagi kursus-kursus yang dijadualkan peperiksaan pada 7 hingga 16 Oktober 2020 adalah kekal seperti jadual sedia ada.

Begitu juga dengan tempoh pelaksanaan Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2019/2020 (Fasa 3) yang dijadualkan pada 19 hingga 30 Oktober 2020 bagi pelajar yang mengikuti Latihan Industri dan tempoh pelaksanaan Peperiksaan Akhir Semester Pendek, Sesi Akademik 2019/2020 yang dijadualkan pada 12 hingga 16 Oktober 2020 adalah kekal seperti sedia ada.

Tambah beliau, dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19, universiti berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan aktiviti akademik dan penyampaian perkhidmatan universiti dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Beliau turut menasihatkan agar semua pihak bersabar atas ujian ini dan terus berdoa kepada Allah SWT agar kita semua terhindar daripada ancaman Covid-19 ini.

“Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan pelajar UMP juga perlu mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak COVID-19.

“UMP akan terus memantau perkembangan penularan wabak ini melalui maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KPT,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan penangguhan balik ke kampus boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana UMP di talian 09-549 3333 (UMP Gambang) atau 09-424 6999 (UMP Pekan).

Manakala yang berkaitan peperiksaan pula, pelajar boleh menghubungi Pusat Pengurusan Akademik di talian 09-549 2550 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 5252 (UMP Pekan) atau menghubungi Pejabat Pentadbiran di Fakulti/Kolej Kejuruteraan/Pusat masing-masing.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit