Skip to main content

Pengetahuan, kemahiran dan kepimpinan ciri utama pentadbir

PEKAN, 2 Ogos 2021 – Para pentadbir Universiti Malaysia Pahang (UMP) diseru agar mempunyai tiga ciri khusus yang penting iaitu pengetahuan, kemahiran dan kepimpinan dalam mentadbir serta sentiasa membuka minda dalam tugasan dan komitmen yang diberikan.

Pentadbir juga perlu ingat, kehebatan dalam mentadbir bagi seseorang pentadbir itu amat diperlukan di mana-mana Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Justeru, usah menganggap pertukaran itu sebagai sesuatu yang negatif.

Malah ia merupakan satu proses meningkatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman bagi seseorang pentadbir.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, pentadbir perlu menganggap kehadiran mereka di sesebuah PTJ dapat memberi manfaaat kepada organisasi.

“Setiap jawatan itu merupakan satu amanah yang diberikan dan jangan sesekali merasakan jawatan yang dipikul merupakan hak milik yang kekal selamanya.

“Saya yakin para pentadbir di UMP amat positif sehinggakan ada segelintirnya memohon untuk dipindahkan ke PTJ lain kerana ingin mempelajari urusan pentadbiran yang lain.

“Setiap pentadbir perlu melaksanakan tugas dengan lebih efisien kerana mungkin antara pentadbir ini bakal memegang tanggungjawab yang besar contohnya seperti jawatan Pendaftar suatu hari nanti,” ujarnya ketika tampil dalam Program Suara Pentadbir Unggul Siri 2 yang bertajuk ‘Pentadbir Unggul: Pembangunan Sumber Manusia dari Perspektif Pengurusan’.

Justeru, katanya dengan kemahiran pentadbir dalam pelbagai bidang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan nilai seseorang pentadbir.

“Malahan, nilai pentadbir yang kompeten yang boleh menerajui mana-mana institusi amat menjadi rebutan.

“Oleh itu, sebagai seorang pentadbir jangan memandang tugasan ini sebagai bersifat dalam universiti dan dalam pejabat sahaja tetapi tugasan yang meluas.

“Para pentadbir juga jangan sesekali memandang kecil kepada latihan yang diberikan namun jadikan ia sebagai ilmu yang bermanfaat.

“Ambil kesempatan dan ruang ini untuk meningkatkan kompetensi diri untuk terus berkembang dalam kerjaya,” katanya.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut menasihatkan para pentadbir agar membina kompetensi.

“Sekiranya anda kompeten, pastinya anda seorang yang bernilai.

“Fokus pada kebolehan diri yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan universiti.

“Tatkala melaksanakan tugas, perlu sentiasa berpandukan nilai teras, meningkatkan ukhuwah, memupuk rasa hormat antara satu sama lain dan kurangkan berprasangka.

“Sama-sama kita berdoa agar dapat melaksanakan tugas dengan baik dan jauhi perkara yang dilarang dengan mematuhi peraturan dan perlembagaan,” ujarnya.

Program yang berlangsung hampir dua jam itu dikendalikan oleh Eksekutif, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Nadira Hana Ab Hamid.

Program yang disertai hampir 100 orang warga pentadbir itu turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMP, Hazmin Aris.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris