Skip to main content

Pensyarah UMP digalak kongsi kepakaran melalui penulisan

KUANTAN, 29 Julai 2021 – Pensyarah Universiti malaysia Pahang (UMP) digalakkan untuk berkongsi idea, pemikiran, cadangan dan pandangan berasaskan kepakaran (kesarjanaan) ilmu masing-masing menerusi penulisan yang diterbitkan dalam akhbar, majalah atau portal popular.

Malahan ia akan menjadi medan komunikasi bagi mendekatkan diri pensyarah dengan agensi, industri dan masyarakat umum.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, penulisan juga mampu meningkatkan persepsi yang baik dalam kalangan masyarakat.

“Misalannya, beberapa penulis terkenal seperti Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, Datuk Profesor Ibrahim Komo, Tan Sri Zulkifli Razak dan Ahmad Murad Merican banyak berkongsi penulisan kepada masyarakat mengenai isu semasa mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Hasil penulisan popular meliputi berita, rencana, ulasan buku, temu bual, profil tokoh dan sebagainya.

“Pensyarah muda amat digalakkan untuk menulis bagi menonjolkan kepakaran bidang mereka manakala bagi pensyarah kanan (senior) perlu menulis untuk berkongsi pengalaman dan kearifan (wisdom),” ujarnya ketika berkongsi pandangan dalam Program Webinar UMP Berbicara: Penulisan Akademia di Media Popular baru-baru ini.

Beliau turut menasihatkan para pensyarah agar peka terhadap isu persekitaran dan hal semasa.

Pensyarah UMP digalak kongsi kepakaran melalui penulisan

Penulisan yang mudah difahami dapat membantu memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat serta memberi persepsi yang baik terhadap penulis dan universiti.

Program webinar ini dianjurkan pihak Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman pensyarah berkaitan penulisan rencana.

Program kali ini turut sama menampilkan Eksekutif Kanan, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor UMP, Mimi Rabita Haji Abdul Wahit sebagai panel dalam berkongsi teknik penulisan bersama pensyarah di fakulti.

Bagi Mimi Rabita, penulisan berita dan rencana dapat meningkatkan imej diri dan memperkenalkan UMP kepada khalayak ramai.

Beliau menerangkan teknik penulisan yang baik dan perbandingan di antara penulisan berita dengan rencana serta kesilapan yang sering berlaku semasa menghasilkan penulisan dengan baik.

“Berita memaparkan pengkisahan peristiwa yang berlaku, dan biasanya kita menggunakan andaian seperti piramid terbalik iaitu menjawab persoalan 5W 1H di awal perenggan, diikuti maklumat penting dan maklumat lain berkaitan dalam perenggan seterusnya.

“Manakala rencana merupakan bentuk komunikasi mengenai mesej yang hendak disampaikan kepada pembaca mengikut persepsi dan pandangan penulis.

“Penyampaian idea, pemikiran, cadangan atau pendekatan berasaskan kepakaran atau ilmu masing-masing,” katanya.

Ujarnya, terdapat beberapa sebab rencana tidak diterbitkan antaranya tajuk yang tidak menarik, penulisan yang lemah iaitu tidak tersusun, gagal menggarap dan menonjolkan idea atau fakta serta penulisan terlalu panjang atau terlalu pendek.

Beliau turut menerangkan bagaimana sesebuah rencana itu dapat dihasilkan dengan baik.

Katanya, pihaknya bersama Penerbit UMP sentiasa bersedia membantu pensyarah dalam menghasilkan penulisan rencana yang berkualiti menerusi penganjuran bengkel penulisan rencana pada masa akan datang.

“Dalam pada itu, bagi menggalakkan para pensyarah untuk menyumbang dalam penulisan, pihak universiti telah memperkenalkan Anugerah Penulisan Rencana Terbaik bersempena Hari Penyampaian Anugerah Kecemerlangan dan Hari Kualiti yang masuk tahun kedua penganjuran pada tahun ini.

“Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Penerbit UMP dan Pejabat Naib Canselor,” katanya.

Seramai lebih 70 orang peserta hadir dalam program webinar yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan Facebook Live di laman rasmi Facebook FSTI dengan kendalian Dr. Ahmad Mahfuz Gazali sebagai moderator.

Disediakan oleh: Mohd Halimi Abdul Aziz, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)

 

Reports by:
Admin UMP News