Skip to main content

Pentadbir unggul perlu bersedia tingkat ilmu dan kompetensi

KUANTAN, 22 Jun 2021 - Peranan pentadbir di universiti bukanlah hanya sekadar menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi perlu sentiasa menggunakan pemikiran mereka untuk menimba ilmu dan meningkatkan kompetensi. 

Pentadbir unggul juga perlu bersedia menambah kemahiran komunikasi dan mempunyai kompetensi bertahap memandangkan setiap tahap adalah berbeza dari segi tanggungjawab dan risikonya.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, dalam pengurusan pentadbiran di universiti terdapat tiga tahap pentadbir iaitu eksekutif, penggerak dan strategik.

“Tahap pertama menggambarkan seorang pentadbir yang baharu dan mereka ini perlu memahami proses serta berkemahiran dalam pengurusan operasi jabatan.

“Tahap penggerak pula berkebolehan merancang dan memantau inisiatif serta melatih dalam mengurus eksekutif.
“Mereka ini terdiri daripada penggerak yang boleh merancang, menjadi mentor dan sebagai pendaya (enabler) atau pemandu (driver).

“Ia penting dalam lapangan untuk membuat keputusan,” katanya.

Tahap seterus pula katanya ialah tahap strategik iaitu seorang pemimpin yang mampu menentukan hala tuju dan haluan, antaranya mengatur sumber dalam organisasi di samping mampu membuat analisis jangkaan dan tahap risiko sebelum membuat keputusan.

“Maka, tanggungjawab pentadbir pada tahap ini adalah lebih besar.

“Bagi melengkapkan pentadbir unggul, pentadbir juga perlulah berintegriti dengan tidak melanggar syariat dan undang-undang negara.

“Selain itu, pentadbir juga haruslah sentiasa meningkatkan kompetensi dan ilmu pengetahuan dalam tugasan seharian seperti menyediakan minit mesyuarat, penyediaan kertas kerja dan tugasan-tugasan lain dengan lebih berkualiti,” ujarnya.

Tambanya, dalam menggerakkan usaha ini beberapa latihan telah dirancang oleh pihak universiti mengikut tahap yang bersesuaian.

“Antaranya termasuklah rancangan untuk menghantar pentadbir ke tempat terbaik bagi menjalani latihan mengurus di peringkat antarabangsa dan membina jalinan kerjasama (networking) dengan universiti ternama seperti Harvard University, Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan universiti di Singapura.

“Paling penting, setiap pentadbir perlulah berfungsi secara integratif merangkumi pelbagai aspek yang saling berkait rapat antara satu sama lain.

“Aspek-aspek ini tidak berdiri dengan sendiri tetapi saling mempengaruhi antara satu sama lain secara menyeluruh dan holistik.

“Dalam keadaan ini, setiap orang bebas memberi pandangan termasuklah pentadbir muda dengan menjadikannya sebagai budaya di dalam organisasi,” katanya.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut mengingatkan para pentadbir bahawa mereka menjadi identiti apabila sentiasa memberi manfaat malahan terus membuat kebaikan kepada masyarakat.

Beliau hadir menjayakan program Suara Pentadbir Unggul (SPU) Siri 1 bersama Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri yang bertindak sebagai moderator dalam membicarakan mengenai ‘Pentadbir Unggul, Identiti, Kompetensi dan Pemikiran’ anjuran Jabatan Pendaftar UMP.

Program yang berlangsung secara dalam talian itu bertujuan mengukuhkan ukhuwah, merealisasikan agenda ‘Bergerak Bersama’ dan berkongsi perkembangan universiti dengan menyasarkan kumpulan pengurusan dan profesional.

Program seperti itu dijangka akan diteruskan dengan sesi melibatkan kumpulan-kumpulan staf lain. Berkonsepkan dialog awam (townhall), program seumpama ini akan diadakan dengan lebih kerap lagi bagi mendapatkan pandangan dan membincangkan penyelesaian setiap permasalahan yang timbul.

Pelbagai aktiviti lain bakal diteruskan dan diadakan antaranya pertandingan sukan antara jabatan, aktiviti kebersamaan dalam membina ukhuwah dan penerapan nilai teras (core value) dengan hasrat memantapkan cara bekerja, meningkatkan kualiti kerja dan bekerja dengan lebih tersusun ke arah kecemerlangan universiti.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit