Skip to main content

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie dilantik semula sebagai Naib Canselor UMP

PEKAN, 1 November 2022 - Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuat kuasa mulai 1 November 2022.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian dalam bidang Perdagangan di University of Wollongong, Australia pada tahun 1992.

Beliau juga memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1997.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, pelantikan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang amat besar dalam menjalankan tugas dan bergerak bersama menggembleng tenaga bagi meningkatkan pencapaian dan nama UMP ke persada antarabangsa.

“Saya amat mengharapkan agar warga UMP dapat bersama-sama menjalankan aktiviti yang telah dirancangkan dalam memastikan agenda Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) dapat dilaksanakan dan dicapai dengan sebaiknya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Majlis Bersama Pengurusan dan Staf di Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd. Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Bendahari, Zainuddin Othman.

Beliau telah berkhidmat selama 11 tahun di USM sebelum berkhidmat di universiti ini.

Sepanjang 12 tahun berkhidmat di UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie pernah memegang jawatan sebagai Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) pada tahun 2010 dan dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selama 11 tahun, menjadikan jiwanya begitu dekat dengan mahasiswa.

Ini sekaligus menjadikan aktiviti kesukarelawanan sebagai agenda penting universiti dalam melahirkan pelajar yang berketerampilan dan warga yang prihatin seiring dengan slogan UMP ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit