Skip to main content

Program Bicara Budayawan Pahang ‘Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’

PEKAN, 16 Mac 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program bertajuk Bicara Budayawan Pahang ‘Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’ baru-baru ini bertempat di Eksekutif Lounge, Perpustakaan UMP.

Program yang mendapat kerjasama Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Pusat Sukan & Kebudayaan (PSK) UMP dan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menampilkan Tuan Syed Indra Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso Kopratasa sebagai panel utama dan pelajar UMP, Khairul Imran Ruslan  sebagai moderator.

Menurut Pengarah ITKAS UMP, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad, program  ini dianjurkan sebagai satu platfom perkongsian pengalaman dan perjalanan hidup Siso sebagai anak seni bermula dari Balok, Kuantan sehingga dikenali ramai.

“Sepanjang kerjaya sebagai anak seni, Siso mempunyai pengalaman selama 36 tahun sebagai penulis lirik, 30 tahun penulis skrip, 25 tahun sebagai penata vokal dan 20 tahun sebagai ahli panel persembahan dan pengarah lakon,” ujarnya. 

Profesor Madya Dr. Hasan turut mengharapkan agar program ini merupakan titik permulaan bagi usaha untuk memartabatkan dan menghargai para karyawan serta budayawan terutamanya mereka yang berasal dari Pahang agar boleh dijadikan rujukan untuk generasi muda sekarang.

Program Bicara Budayawan Pahang ‘Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’

Sementara itu, bagi Siso pula, beliau telah menubuhkan kumpulan Kopratasa bersama dua orang ahli lain pada tahun 1985. 

Sehingga kini, Siso telah menghasilkan kira-kira 300 lebih lirik lagu yang menggunakan nama beliau sendiri. 

Ini tidak termasuk lirik yang didaftarkan menggunakan nama orang lain.

Katanya, Pahang mempunyai pelbagai warisan seni dan tarian seperti Zapin Pekan, Zapin Raub dan Tarian Labi-labi. 

“Namun, ia semua sukar untuk dipertontonkan dan diwarisi ke generasi baharu kerana kita sendiri tidak menjaganya. 

“Program-program penghargaan kepada semua penggiat seni yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini perlu diperbanyakan agar mereka rasa dihormati dan memberikan semangat untuk terus berjuang dalam dunia tersebut,” katanya. 

Siso turut sudi menyampaikan dua buah lagu kopratasa yang terkenal iaitu ‘Permata untuk Isteri’ dan ‘Masihkah Kau Ingat’ yang turut disertai oleh Sani Sudin, salah seorang ahli Kopratasa yang lain. 

Turut hadir dalam program Pengarah Pusat Kebudayaan USIM ,Ismail  Ahmed dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Mohd Aznorizamin Ismail.

Program turut dihadiri wakil-wakil daripada agensi luar termasuklah Yayasan Pahang dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang (PSMCP). 

Disediakan oleh: Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal, Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS)

Reports by:
Admin UMP News