Skip to main content

SEJAHTERA UMP agih bantuan buat ahli yang terjejas banjir

PEKAN, 17 Januari 2021 - Prihatin dengan nasib staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang merupakan ahli Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf (SEJAHTERA) UMP, persatuan telah menyumbang sebanyak 20 ribu buat 79 ahlinya yang terlibat dengan bencana banjir di sekitar Pekan dan Kuantan baru-baru ini.

Presiden SEJAHTERA, Ts. Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid yang merupakan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) melahirkan rasa simpati kepada semua ahli-ahli yang ditimpa musibah banjir pada bulan Disember lalu.

“Sumbangan telah diagihkan secara  terus kepada penerima oleh ahli jawatankuasa Kebajikan SEJAHTERA, Rahin Hassan dan Penolong Setiausaha SEJAHTERA, Jasminah Adnan,” katanya yang mengharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga.

Menurut salah seorang penerima, Norhayati Ismail yang merupakan Setiausaha Pejabat, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) terharu dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan ini.

Beliau yang tinggal di Taman Pandan Damai menyifatkan bantuan yang diterima dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas, perabot dan perkakasan elektrik yang rosak bagi menggantikan barang-barang yang rosak akibat ditenggelami air.

Manakala bagi Pemandu Kenderaan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Pauzi Husain yang tinggal di Taman Seri Inderapura, Kuantan pula berkata, beliau amat menghargai sumbangan yang diterima bagi meringankan beban yang ditanggung.

Berkongsi saat getir ditimpa bencana, pada waktu itu, beliau hanya sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting kerana air masuk begitu cepat.

Tambahnya, kejadian banjir baru-baru ini adalah kali kali kedua yang berlaku di kawasan tersebut selepas kejadian pertama pada tahun 2013. 

Namun, beliau tidak menyangka banjir kali ini lebih teruk daripada sebelum ini.

Sehingga kini, SEJAHTERA UMP mempunyai seramai  857 ahli yang terdiri daripada staf UMP. 

Pelbagai manfaat yang telah disediakan kepada ahli antaranya seperti khairat kematian, sagu hati masuk wad, sakit, bencana, perkahwinan, cahaya mata dan lain-lain lagi.

Pihak SEJAHTERA UMP turut mengalu-alukan pendaftaran ahli baharu dan Mesyuarat Agung Tahunan SEJAHTERA UMP bakal berlangsung pada 28 Januari 2022 (Jumaat) mulai jam 10.00 pagi secara dalam talian.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris