Skip to main content

Sembang Santai 100 tahun Gerakan Koperasi bersama KSU KUSKOP

PEKAN, 7 Disember 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima kunjungan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Suriani Dato’ Ahmad sempena program Sembang Santai 100 Tahun Gerakan Koperasi yang berlangsung di UMP Pekan.

Ketibaan delegasi itu disambut oleh Timbalan Pengerusi, Koperasi Universiti Malaysia Pahang, Zainuddin Mat Husin, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan ahli jawatankuasa Koperasi UMP.
 
Hadir sama Naib Pengerusi Eksekutif Operasi dan Kawal Selia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Siti Azlin Ahmad Dauta, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, KUSKOP, Azizul Alias dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pahang, Ibrahim Hussin. 

Sembang Santai 100 tahun Gerakan Koperasi bersama KSU KUSKOP

 
Dato’ Suriani mengucapkan terima kasih kepada UMP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia atas penganjuran bersama  program ini.
 
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan tahniah kepada koperasi UMP yang melaksanakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JKMM) bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung pelajar. 

Sembang Santai 100 tahun Gerakan Koperasi bersama KSU KUSKOP

“Saya yakin dengan pelaksanaan program ini, pelajar akan mendapat diskaun bagi barang tertentu dan mereka juga dapat menjimatkan kewangan untuk tujuan lain,” ujarnya. 

Beliau turut menyeru agar koperasi kini perlu mengorak langkah dalam pemasaran. 

Ujarnya, dalam senario hari ini koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk. 
 
“Pemasaran menerusi platform digital dan pembayaran secara dalam talian merupakan norma baharu yang penting kepada perniagaan.
 
“Koperasi juga perlu mempelajari selok-belok menggunakan platform digital untuk meluaskan skop perniagaan agar ia mampu menjadi perantara terbaik untuk produk dan perkhidmatan koperasi lebih dikenali,” katanya.
 
Beliau berharap koperasi seharusnya berfungsi sebagai satu wadah dan entiti kerjasama yang memberi manfaat kepada ekonomi  masyarakat dan negara.  
 
Manakala Zainuddin pula berkata, Koperasi UMP sejak tahun 2011 telah lama beroperasi dan kini mempunyai lebih 500 orang ahli.
 
Selain aktiviti peruncitan, Koperasi UMP juga turut menawarkan perkhidmatan pembiayaan kredit kepada anggota.

Sembang Santai 100 tahun Gerakan Koperasi bersama KSU KUSKOP

Turut berlangsung penyerahan replika cek geran kepada seramai tujuh penerima yang dipilih oleh pihak Suruhanjaya Koperasi.
 
Dalam pada itu, Dato’ Suriani turut berpeluang menyertai aktiviti berbasikal sekitar kampus sambil menikmati pemandangan indah dan sebagai menyokong gaya hidup sihat serta kelestarian kampus.
 

Disediakan oleh: Nor Salwana  Mohammad Idris, Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris