Skip to main content

Sumbangan infaq bantu ringankan beban pekerja landskap UMP

PEKAN, 16 Julai 2021– Kewujudan kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terletak berhampiran dengan komuniti setempat di Kuala Pahang turut memberi manfaat buat penduduk apabila seramai 67 orang berpeluang berkhidmat sebagai pekerja ikhtisas landskap di universiti ini.  

Tugasan mereka bukan sahaja menjaga pokok semata-mata, namun turut melakukan kerja-kerja menyemai dan menghias landskap serta memastikan persekitaran kampus bersih dan indah.

Sumbangan infaq bantu ringankan beban pekerja landskap UMP

Namun tiada siapa menyangka  pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu turut menjejaskan pendapatan keluarga mereka. 

Prihatin dengan keadaan mereka telah mendorong Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan Yayasan UMP menghulurkan bantuan dengan menyerahkan sumbangan keperluan makanan buat mereka baru-baru ini.

Sumbangan infaq bantu ringankan beban pekerja landskap UMP

Bagi Syed Salleh Syed Mohd, 67 yang telah mula bekerja di UMP sejak tujuh tahun lalu bersyukur dengan sumbangan yang diberikan. 

Memandangkan isteri tidak bekerja dan dalam keadaan tidak sihat, sumbangan ini pastinya dapat membantu meringankan beban keluarganya.   

Sumbangan infaq bantu ringankan beban pekerja landskap UMP

Beliau amat terharu dengan sumbangan ini kerana UMP sentiasa prihatin dengan nasib pekerja walaupun mereka hanya pekerja ikhtisas landskap.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih UMP kerana tetap memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan yang telah pun berusia namun masih dibenarkan bekerja di UMP.

“Dengan pendapatan inilah kami menyara keluarga,” katanya.

Manakala rakannya, Mohamad Fazir Osman, 55, sumbangan ini amat membantu mereka sekeluarga.

“Sejak pandemik COVID-19, pendapatan saya sekeluarga amat terjejas.

“Jika dahulu saya dan isteri bekerja dan kami berdua dapat menampung keperluan keluarga, namun kini isteri sya telah diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19.

“Sejak wujudnya UMP di Kuala Pahang, masyarakat sekeliling dapat menumpang gembira kerana bantuan bukan sahaja dari segi peluang pekerjaan malah banyak bantuan lain yang diterima,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PPPH, Dr. Mohammad Idris Ali berkata, sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu meringankan beban mereka dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apatah lagi menjelang hari raya Aidiladha yang akan menjelang tiba.

Sumbangan infaq bantu ringankan beban pekerja landskap UMP

Manakala Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Jaafar berkata, pihaknya menjalankan Program Infaq Prihatin yang merupakan salah satu program sumbangan kepada pekerja ikhtisas yang terjejas pendapatannya ketika ini.

“Yayasan UMP bertanggungjawab untuk mengagihkan sumbangan menerusi dana sumbangan orang ramai terutama daripada Pusat Tanggungjawab dan warga UMP kepada golongan yang memerlukan.

“Bantuan berkenaan merupakan hasil sumbangan daripada warga UMP, badan korporat dan sumbangan orang persendirian yang mengambil berat mengenai nasib mereka.

“Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada semua warga UMP, NGO, dan semua yang telah menyumbang kepada Yayasan UMP bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Inisiatif ini juga merupakan kerjasama erat daripada Persatuan Wanita UMP (Matahari).

UMP turut menyediakan platform mohbeli.com yang menyediakan perkhidmatan infaq secara dalam talian bagi menyokong inisiatif yang dijalankan termasuklah usaha membantu lebih ramai individu yang terjejas ketika mendepani kemelut pandemik COVID-19 ini.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris