Skip to main content
Teruja terima bantuan UMP

Teruja terima bantuan UMP

Kuantan, 2 September- Ibu mana yang tidak gembira apabila anak kesayangannya berjaya ditawarkan mengikuti pengajian ke menara gading. Namun, Rohana Rashid, 52, sedikit gusar apabila mengenangkan bayaran yuran pendaftaran serta kenderaan untuk menghantar anaknya bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini.

Beliau yang merupakan seorang ibu tunggal dari Kampung Singkir Genting, Kedah langsung tidak dapat membayangkan keluarganya dipilih menerima bantuan daripada pihak UMP yang tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mengurus kemasukan anaknya ke universiti.

Pada awalnya, mereka sekeluarga bercadang meminta pertolongan bapa saudaranya bagi menghantar anaknya Amrina Rusyada Mat Kamal ke UMP Kampus Gambang. Namun beberapa hari sebelum hari pendaftaran, beliau mendapat panggilan telefon dari pihak UMP yang menawarkan bantuan menjemput mereka sekeluarga untuk dibawa ke UMP.

“Seolah-olah tidak percaya ada universiti yang buat begini. Kalau bantuan kewangan, kita biasa dengar tapi bila sebut ada yang nak tawarkan sediakan urusan kenderaan membawa ke universiti sememangnya luar biasa. Saya bertanyakan pendapat dengan saudara mara dan  jiran ternyata semua terkejut dan ragu-ragu dengan bantuan yang diberikan,” ujarnya

Namun, menjelang hari pendaftaran pada hari Sabtu lalu, kehadiran pihak UMP ke rumahnya amat mengejutkan. Bermula dari situlah kebimbangan mereka bertukar terharu dengan bantuan yang diberikan ini.

Ujarnya, UMP bukan sahaja menyediakan kemudahan pengangkutan, malah  turut diberikan kemudahan penginapan di rumah tamu universiti lengkap dengan makan dan minum sepanjang urusan pendaftaran.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada UMP atas bantuan yang diberikan dan mengakui anggaran  kos pergi balik perjalanan dijangkakan lebih RM 500 dan baginya yang hanya berniaga nasi lemak, perbelanjaan ini sangatlah besar. 

Nasihatnya buat Amrina, belajarlah bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan demi masa depan.

Sementara itu, Amrina  merasa terharu dengan keprihatinan dan bantuan yang diberikan oleh UMP kepadanya sekeluarga. Beliau juga menerima insentif MyGiftUMP Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat berjumlah RM1,000 dan ianya membakar semangatnya untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga pada masa depan.

Selain Amrina, 69 pelajar baharu lagi yang turut menerima Inisiatif MyGift UMP sempena kemasukan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sesi 2019/2020 baru-baru ini.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim